Umno, PAS akan berkuasa jika DAP keluar PH, kata Chin Tong

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, perbincangan mengenai khat mesti diasaskan pada fakta, bukan pembohongan.

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menggesa ahli parti itu supaya terus berusaha memelihara keutuhan Pakatan Harapan (PH) walaupun mereka marah berhubung langkah kerajaan memperkenalkan tulisan khat dalam silibus Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah.

Dalam satu ucapan kepada pemimpin akar umbi dan ahli DAP Johor semalam, Liew juga menolak gesaan supaya parti itu meninggalkan PH.

“Cakap-cakap yang meminta DAP keluar PH biar apa pun akibatnya hanya akan memusnahkan hasil demokrasi yang dimenangi pada 9 Mei 2018, selain membuka jalan kepada Umno dan PAS untuk kembali berkuasa,” katanya.

Keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan memperkenalkan tulisan khat mendapat bantahan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil.

Sebilangan pimpinan akar umbi DAP turut menolak langkah tersebut, sementara halaman media sosial beberapa pemimpin parti itu menjadi sasaran kemarahan orang ramai.

Liew, yang juga merupakan timbalan menteri pertahanan berkata, semua orang berhak mempunyai pandangan masing-masing mengenai isu berkenaan, tetapi pada masa sama meminta supaya perbincangan mengenai khat hendaklah didasarkan kepada fakta, bukannya kebohongan.

“Negara yang membuat keputusan berdasarkan kebohongan akan memusnahkan dirinya sendiri.

“Walau apa pun pandangan kita, ia tidak boleh didasarkan kepada fobia jawi. Kita tidak mahu fobia jawi, atau fobia tulisan Cina maupun fobia tulisan Tamil di Malaysia,” katanya.

Beliau juga mengambil maklum bahawa Kementerian Pendidikan seharusnya lebih membanyakkan perundingan mengenai perkara itu.

Liew berkata, beliau faham bahawa ahli akar umbi berdepan masalah selama beberapa minggu ini berikutan meletusnya isu khat.

“Hakikatnya, kita kini mengurus persekitaran pasca-kebenaran dan mereka yang yakin dengan impian Malaysia harus tampil ke hadapan bagi memastikan tidak berlakunya pertelingkahan kaum.

“Mandat pemerintahan diberikan kepada kita sebagai sebuah kerajaan gabungan ialah bagi mempertahankan demokrasi untuk semua rakyat Malaysia daripada semua latar belakang.”