Waytha nafi cakap pada portal berita isu khat di sekolah Tamil

Laporan Malaysiakini semalam mendakwa P Waytha Moorthy melabelkan pengajaran seni khat atau tulisan jawi di sekolah Tamil sebagai tidak realistik dan tidak perlu.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy hari ini menafikan beliau bercakap kepada sebuah portal berita mengenai pembelajaran seni khat di sekolah Tamil.

Katanya, beliau tidak pernah bercakap kepada wartawan atau mengeluarkan sebarang kenyataan kepada portal berita terbabit.

Beliau menyifatkan laporan Malaysiakini sebagai “palsu” dan “berniat jahat”.

“(Saya) tidak bercakap kepada Malaysiakini atau mana-mana wartawannya mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan semalam itu mendakwa Waytha melabelkan pengajaran seni khat atau tulisan jawi di sekolah Tamil sebagai tidak realistik dan tidak perlu.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk mengurangkan beban murid, meneroka kamahiran lain dan menangani masalah pengangguran di kalangan graduan.

Menurut laporan itu, beliau turut mendakwa ramai menteri lain tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan seni khas dalam silibus bahasa Melayu Tahun 4 bagi semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai 2020.

Kementerian itu pada awalnya berkata, 6 muka surat buku teks bahasa Melayu akan dikhasnya untuk pengajaran seni khat. Tetapi, ia kemudiannya dikurangkan kepada 3 muka surat susulan bantahan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil serta ahli DAP.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan pengenalan seni khat akan dilaksanakan sebagai subjek pilihan, dengan guru diberi kuasa memutuskan kaedah pengajarannya dan ia tidak akan dinilai dalam peperiksaan.