Anda harap Dr M jadi boneka, pemimpin PPBM tanya ahli Parlimen DAP

Tariq Ismail ialah ahli Majlis Pimpinan tertinggi PPBM.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM hari ini mengkritik seorang ahli Parlimen DAP yang menggesa kajian semula ke atas proses membuat keputusan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Saya tertanya-tanya apa yang DAP fikir akan berlaku apabila mereka bersetuju (melantik) Dr Mahathir Mohamad sebagai PM.

“Adakah mereka fikir PM Malaysia akan menjadi boneka, manakala kuasa ‘sebenar’ dimiliki ‘secara sama rata dalam kalangan semua parti PH’? Atau adakah mereka fikir Mahathir akan tunduk dan menjadikan jawatan PM berperanan sebagai penasihat?” soal Tariq Ismail dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilaporkan berkata, kuasa membuat keputusan di peringkat eksekutif patut dikongsi secara sama rata dalam kalangan parti komponen PH, khasnya mengenai isu kontroversi membabitkan kaum dan agama.

Katanya, ada terlalu banyak kuasa di tangan perdana menteri dan Mahathir sering membuat keputusan bersendirian bagi pihak rakyat.

“Kita tidak boleh menyingkirkan bekas perdana menteri, Najib Razak hanya untuk menjadi sepertinya.”

Bagaimanapun, Tariq mendakwa Santiago cuba menenangkan ahli tegar DAP dengan “menyembunyikan rasa tidak puas hati dan ketamakan terhadap formula perkongsian kuasa sedia ada dengan dakwaan kegagalan melaksanakan janji pilihan raya”.

Tariq berkata, perdana menteri sentiasa menjadi “ketua pegawai eksekutif Malaysia”, manakala pasukannya terdiri daripada anggota Kabinet yang menyokong dan mencabar beliau, “tetapi tidak pernah memberontak” atau “sehingga tahap ia sama seperti perubahan dalam Perlembagaan”.

Beliau berkata, semua orang perlu berkorban sedikit demi parti untuk mempromosikan kepentingan negara.

“Malah, daripada apa yang saya dengar, ramai anggota Kabinet sedia ada akan, dalam persekitaran korporat, dibuang atas tindakan mengingkari orang atasan mereka, jika ini ialah sebuah korporat.

“Tetapi, dalam politik Malaysia Baru, parti seperti DAP dan PKR secara konsisten dan bersungguh-sungguh cuba mengubah struktur kuasa serta apa yang diterima sebagai prinsip tadbir urus global, atas nama ketelusan politik.

“Tafsiran saya terhadap keadaan itu ialah disebabkan sesetengah menteri mewakili parti berlainan, dasar parti didokong melebihi kepentingan negara dan keputusan jawatankuasa Kabinet/Kabinet secara kolektif, termasuk dasar negara.

“Saya tertanya-tanya adakah kita perlu mempersoalkan keingkaran itu dan menggelarnya pengkhianatan? Saya cenderung berbuat demikian.”

Tariq berkata, jika DAP “benar-benar ikhlas” menambah baik kesejahteraan rakyat, ia patut menggesa penyelarasan keutamaan negara berbanding cuba menjadi “sambungan kepada Umno Inc”.

“Ini ialah pokok persoalan itu – berkongsi dan mengembangkan pai ekonomi di mana muslihat ‘perkongsian kuasa secara sama rata’ hanya memberi tanggapan palsu dalam saingan untuk menguasai pai itu.

“Kini, Umno dan BN sudah terkeluar daripada pai itu, DAP perlu berundur selangkah dan tanya diri jika mereka sedia melepaskan penguasaan ke atas pai ekonomi demi keamanan dan keharmonian.”