Dong Zong bukan rasis, DAP sangkal Dr M

(Facebook pic)

PETALING JAYA: DAP malam tadi mempertahankan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong yang dibidas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis susulan kontroversi pengajaran seni khat di sekolah-sekolah aliran.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng dalam kenyataan yang menyangkal tuduhan itu berkata Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia itu tidak pernah mengancam hak dan keselamatan rakyat lain.

“Sebaliknya Dong Zong menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan di mana Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, sementara bahasa-bahasa lain boleh diajar dengan lisan dan dipelajari,” katanya.

Perdana menteri hari ini sekali lagi membidas Dong Zong, mengatakan kumpulan itu sentiasa berjuang untuk kepentingan satu kaum sahaja, sedangkan Malaysia negara berbilang bangsa.

Lim malam tadi menegaskan mana-mana pihak berhak membantah kenyataan Dong Zong, namun kebebasan itu bukan bererti boleh mengancam atau mencederakan mana-mana pihak yang berbeza pandangan.

Atas sebab itu DAP tidak akan bersetuju dengan sebarang cadangan untuk mengharamkan Dong Zong.

Perkembangan ini menyusuli petisyen mendesak kerajaan mengharamkan Dong Zong yang dilancarkan kelmarin, yang sudah mengumpul lebih 90,000 tandatangan petang tadi.

Lim berkata Mahathir sejak mentadbir kerajaan baru tahun lepas mengamalkan pendekatan terbuka terhadap kebebasan bersuara, dan pernah mengarahkan tiada penahanan atau pendakwaan terhadap pengkritinya.

“Oleh itu, DAP percaya perdana menteri tiada niat mengharamkan Dong Zong.”