FBI serbu pulau persendirian jutawan Jeffrey Epstein di Caribbean

Kediaman mewah milik Jeffrey Epstein di Little St James di Kepulauan Virgin AS yang diserbu FBI pada Isnin. (Gambar Reuters)

NEW YORK: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyerbu pulau persendirian milik jutawan Jeffrey Epstein di Caribbean pada Isnin, lapor media 2 hari selepas ia memulakan siasatan ke atas kematian pedofilia itu yang didakwa atas pertuduhan pemerdagangan seks.

Epstein ditemui mati dalam sel penjaranya Sabtu lalu sementara menunggu perbicaraan atas pertuduhan memperdagangkan gadis bawah umur untuk seks.

FBI sedang menyiasat bagaimana Epstein boleh menggantung diri dalam penjara berkawalan ketat hanya 2 minggu selepas dia dimasukkan ke hospital akibat cubaan membunuh diri.

NBC News melaporkan ejen persekutuan menggeledah rumah mewah Epstein di Little St James di Kepulauan Virgin AS pada pagi Isnin.

Serbuan itu menyusul selepas Peguam Negara Amerika Syarikat, William Barr dilaporkan berkata, terdapat “penyelewengan serius” di Penjara Metropolitan di pinggir Manhattan di mana Epstein, 66, ditemui maut.

“Kami akan siasat apa yang berlaku dan akan ada yang perlu bertanggungjawab,” kata Barr yang turut mengarahkan ketua penyiasat Jabatan Kehakiman AS menyiasat keadaan dalam penjara itu.

Epstein berdepan masing-masing 1 pertuduhan pemerdagangan seks gadis bawah umur dan konspirasi untuk memperdagangkan gadis bawah umur untuk seks. Dia boleh dihukum penjara sehingga 45 tahun, jika sabit kesalahan.

Epstein maut sehari selepas mahkamah mengeluarkan dokumen mengenai seorang gadis yang didakwa menjadi mangsanya memaklumkan beliau dipaksa mengadakan hubungan seks dengan Putera Andrew dari Britain serta beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan AS yang terkenal.

Mereka semua menafikan dakwaan itu.

Barr berikrar akan memburu semua pihak yang terbabit dalam konspirasi kes pemerdagangan seks itu.