Ibu JJ tolak tawaran cucu atas pemindahan 9 juta saham 3 syarikat

Aminah Abdullah ialah ibu kepada bekas menteri dan duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Allahyarham Jamaluddin Jarjis.

KUALA LUMPUR: Ibu kepada bekas menteri dan duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Allahyarham Jamaluddin Jarjis, hari ini gagal menyelesaikan saman terhadap 2 cucunya atas pemindahan 9 juta saham bernilai kira-kira RM1.4 bilion dalam 3 syarikat kepada pentadbir bersama harta anaknya.

Peguam, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Aminah Abdullah, berkata anak guamnya menolak penyelesaian yang ditawarkan cucunya, Ikhwan Hafiz dan Nur Anis.

“Kami beritahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Firuz Jaffril yang kami menolak cadangan defendan. Kami dapati ia tidak munasabah.”

Kamar berkata, Ikhwan dan Anis menawarkan wang berhubung permohonan sijil faraid yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Kami kata tiada cadangan mengenai saham syarikat itu yang kami minta di mahkamah sivil ini.”

Kamar berkata, perbicaraan penuh saman Aminah akan diteruskan Khamis ini.

“Kami ada 12 saksi semuanya. Kami akan panggil 3 daripada mereka Khamis ini.”

Aminah dalam samannya berkata, jika cucunya gagal memindahkan saham syarikat itu, seorang pegawai mahkamah patut diberikan kuasa untuk menjalankan tugas itu bagi pihak pentadbir bersama.

Saham 3 syarikat itu adalah Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Sdn Bhd.

Aminah memohon perisytiharan mahkamah supaya Ikhwan dan Anis yang merupakan pentadbir bersama, meminda senarai aset dalam surat kuasa mentadbir, untuk memasukkan saham itu sebagai harta boleh alih.

Beliau turut menuntut cucunya membayar semua dividen, bonus, isu terbitan, keuntungan dan kerugian ketika memiliki saham itu.

Kamar berkata, Mahkamah Tinggi Syariah turut menetapkan 24 September ini untuk keputusan sama ada membenarkan permohonan isteri Jamaluddin, Kalsom Ismail dan cucunya menolak permohonan Aminah untuk mendapatkan sijil faraid.

Aminah menyaman Kalsom dan cucunya atas pemindahan harta yang dilaporkan milik anaknya.

Beliau mendakwa harta boleh alih dan tidak boleh alih yang bernilai kira-kira RM2.1 bilion boleh diagihkan mengikut undang-undang Islam.

Di bawah undang-undang syariah, ibu boleh mendapat 1/6 aset anaknya, manakala isteri mendapat 1/8 dan baki dikongsi bersama anaknya.

Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai JJ ialah kawan rapat bekas perdana menteri, Najib Razak. Beliau meninggal dunia apabila helikopter dinaikinya terhempas 4 tahun lalu tanpa meninggalkan sebarang wasiat.

Beliau ialah ahli Majlis Tertinggi Umno dan ahli Parlimen Rompin dari 1990 sehingga pemergiannya pada 4 April 2015.

Beliau menceburi bidang perniagaan sebelum menyertai politik, dan pernah menubuhkan firma perunding kejuruteraan, J&A Associates pada 1981.