Mayat ditemui ketika misi mencari remaja Ireland Nora Anne

Nora Anne Quoirin hilang dari Resort Dusun di Nilai, Negeri Sembilan, sejak 4 Ogos lalu.

PETALING JAYA: Polis mengesahkan satu mayat ditemui hari ini ketika pihak berkuasa mengadakan misi pencarian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusof dipetik Bernama sebagai berkata, mayat “berkulit cerah” dipercayai wanita itu ditemui kira-kira 2km dari Resort Dusun di Pantai, Nilai, pada 1.57 tengah hari tadi.

Tetapi, katanya, keluarga Nora belum dibawa ke lokasi itu untuk proses pengecaman mayat.

“Mayat ditemui dalam keadaan sempurna. Mayat dalam keadaan baik,” katanya sambil menambah polis belum mengesahkan identiti mayat itu buat masa ini.

Bernama melaporkan unit forensik polis dan pasukan bomba memasuki lokasi penemuan mayat itu pada 3.15 petang tadi.

Terdahulu, sebuah badan kebajikan berpangkalan di United Kingdom yang membantu rakyatnya berdepan krisis di luar negara, Lucie Blackman Trust mendedahkan satu mayat ditemui dalam misi pencarian Nora.

“Dukacita yang kemungkinan itu (adalah mayat Nora) ada. Penyiasat sedang berusaha mengesahkan identiti dan punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami akan memberi kemas kini mengenainya secepat mungkin. Tolong hormat keluarga dan tidak mendekati mereka pada masa sukar ini.

“Kami semua di Lucie Blackman Trust berdoa untuk keluarga itu dan terus menyokong mereka selepas menerima berita ini.”

Nora yang mengalami masalah pembelajaran tiba di Malaysia pada 3 Ogos lalu bersama keluarganya untuk percutian 2 minggu di Negeri Sembilan.

Remaja itu disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada 8 pagi keesokannya.

Operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-10 hari ini membabitkan 313 anggota polis, bomba, Jabatan Sularelawan Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Perhutanan negeri, pasukan elit polis – Komando VAT 69 dan penduduk tempatan, termasuk Orang Asli.

Keluarga Nora menawarkan ganjaran RM50,000 untuk maklumat yang boleh membawa kepada penemuan anak mereka.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman dilaporkan berkata, polis dari Ireland, England dan Perancis tiba di Malaysia minggu lalu untuk membantu siasatan kes Nora.