Pemandu e-hailing, teksi tak carum Perkeso akan didenda

hanya 50,801 daripada hampir 300,00 pemandu e-hailing dan teksi berdaftar dengan Perkeso.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz mengumumkan pegawai penguat kuasa akan mengeluarkan kompaun kepada pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing yang masih belum mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Beliau berkata bilangan pemandu yang mendaftar untuk skim itu masih rendah.

“Sehingga hari ini, hanya 50,801 pemandu mendaftarkan diri untuk skim itu daripada hampir 300,00 pemandu e-hailing dan teksi,” katanya.

“Jika mereka masih tidak mahu mendaftar, kita boleh keluarkan kompaun tetapi jika kita masih gagal, maka kita boleh dakwa mereka. Mereka boleh dipenjara 2 tahun atau didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, ” katanya dalam sidang media di Wisma Perkeso hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Perkeso tidak berniat menyusahkan pemandu, tetapi hanya untuk memastikan kebajikan mereka dan keluarga.

Beliau berkata masih ada masa untuk pemandu mendaftar dan menyumbang secara sukarela kepada Perkeso.

“Janganlah salahkan Perkeso jika pegawai penguat kuasa berjaya mengesan dan mengeluarkan kompaun kepada pemandu. Isu ini berlanjutan selama 2 tahun,” katanya.

Setakat ini, 149 pemandu mendapat faedah di bawah skim itu.

Kerajaan memanjangkan tempoh tambahan bagi pendaftaran skim itu beberapa kali sejak pelaksanaannya pada Jun 2017.