Selamat hari lahir pertama Ainul Mardhiah!

Ainul Mardhiah Ahmad Saifuddin yang selamat menjalani pembedahan kanser mulut Germ Cell Tumor di London, United Kingdom baru-baru ini, berusia genap setahun hari ini.

Bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkongsi video Ainul yang kelihatan ceria memegang belon yang tertera perkara Happy Birthday Princess (Selamat Hari Lahir Puteri) di halaman Facebooknya serta Instagramnya.

“Alhamdulillah. Cukup usia Ainul Mardhiah setahun. Semoga Allah SWT merahmati dan melindungimu anak.

“Semoga jadi anak yang solehah, hamba yang taat dan menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain. Walid dengan mama sayang Ainul!,” katanya.

Posting itu di Instagram mendapat lebih 1,200 ucapan selamat harijadi daripada netizen manakala jumlah tontonan dan like mencecah hampir 70,000.

Sementara Ibu Ainul, Nurul Erwani Zaidi mengucapkan kesyukuran atas ulang tahun pertama anaknya itu meskipun dilanda pelbagai ujian dan dugaan.

“Selamat ulang tahun yang pertama buat anak mama, Ainul Mardhiah. Alhamdulillah, syukur hanya pada Allah SWT untuk nikmat yang paling berharga ini.

“Bermacam pengalaman yang baharu untuk mama dan walid (panggilan buat bapa Ainul) dalam menjaga dan membesarkan Ainul,” menurut perkongsian di laman sosial Instagram miliknya pada Selasa.

Nurul Erwani berkata, ujian dan dugaan yang dilaluinya bersama suami sebenarnya mengajar mereka erti kehidupan.

“Setiap masa mama doa supaya Allah sentiasa beri peluang pada mama untuk jaga Ainul, beri mama dan walid petunjuk dan juga sentiasa permudahkan urusan kita semua,” ujarnya.

Ainul dibawa ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser Germ Cell Tumor di mulut.

Dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut pada 10 Jun lalu di Hospital Great Ormond Street, London.

Selepas lebih dua bulan dirawat di London, Ainul Mardhiah dan ibu bapanya pulang ke tanah air.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]