Tak adil Dr M label Dong Zong ‘rasis’, kata bekas pengerusi

Bekas pengerusi Dong Zong, Vincent Lau.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Dong Zong, Vincent Lau menyifatkan Dr Mahathir Mohamad tidak adil kerana melabelkan kumpulan pendidikan Cina itu sebagai “rasis” kerana membantah pengenalan seni khat.

“Apabila rakyat membantah, anda gelar mereka rasis,” katanya sambil menambah tidak wajar untuk pemimpin kerajaan melabelkan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusannya.

“Kerajaan terlalu sensitif terhadap suara rakyat. Perdana menteri dan menterinya dilantik untuk semua rakyat, bukan hanya satu kumpulan tertentu,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mahathir mengkritik Dong Zong kerana membantah pengenalan seni khat dalam silibus bahasa Melayu Tahun 4 bagi semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai tahun depan.

Katanya, Dong Zong tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kenyataan Mahathir itu menunjukkan keadaan di luar kawalan.

“Ia hanya menunjukkan kesannya apabila kerajaan tidak berunding dengan rakyat. Mendakwa Dong Zong bersifat perkauman hanya menunjukkan kita tidak berbincang secukupnya dengan pemegang berkepentingan.”

Pemimpin DAP itu memberitahu FMT, beliau tidak membantah sesiapa pun mempelajari seni khat, tetapi semua parti komponen Pakatan Harapan perlu berusaha mencapai konsensus mengenai dasar khat.

“Melabelkan mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan dengan bermacam-macam nama tidak membantu sesiapa pun. Kita bercakap mengenai Malaysia Baru yang percaya dalam melakukan perkara dengan cara berbeza.”

Katanya, zaman “kerajaan tahu yang terbaik” sudah berakhir dan kerajaan pimpinan PH perlu berunding dengan rakyat yang memberinya mandat, bukannya bertindak seperti pentadbiran terdahulu pimpinan Barisan Nasional.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata Mahathir perlu membuat lebih banyak “kerja lapangan” dan memahami cara Dong Zong mengendalikan sistem pendidikan berbilang bahasa.

“Saya percaya ada banyak salah faham terhadap Dong Zong yang mengendalikan sistem pendidikan berbilang bahasa dalam Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).”

Katanya, mendakwa Dong Zong bersifat perkauman bukan saja salah, tetapi ia tindakan tidak bertanggungjawab.

“Mahathir tidak patut mengekalkan prasangka dan kejahilan sama, itu hanya akan menjejaskan pembangunan negara.”

Setiausaha Kehormat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata kekecewaan Mahathir dengan pelbagai kumpulan pendidikan boleh difahami disebabkan bantahan mereka terhadap banyak cadangan dan rancangan kerajaan.

“Kami di PAGE paling prihatin dengan cara untuk sistem pendidikan dan sekolah kita berada di landasan betul dan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan. Ada lebih banyak subjek dan topik yang perlu diperkenalkan dan digalakkan.”

Minggu lalu, Dong Zong melancarkan satu petisyen terhadap pengenalan seni khat yang turut disokong kumpulan pendidikan Tamil berdasarkan “penyelidikan beberapa cendekiawan dan pakar kesusasteraan” yang menunjukkan seni khat digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.

Dong Zong dijangka memberi maklum balas terhadap kritikan Mahathir hari ini.