Tipu dakwa Dr M sering buat keputusan sendiri, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata, sepanjang menyertai mesyuarat yang dihadiri perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad amat menghargai suara setiap individu yang hadir sebelum membuat keputusan muktamad.

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyangkal dakwaan Dr Mahathir Mohamad sering membuat keputusan bersendirian berhubung isu penting dan sensitif membabitkan negara, selepas Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan mengkaji semula proses membuat keputusan susulan bantahan terhadap pengenalan seni khat bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah mulai tahun depan.

Maszlee menyifatkan dakwaan pemimpin DAP itu sebagai tidak berasas dan pembohongan kerana sepanjang menyertai mesyuarat yang dihadiri perdana menteri, Mahathir amat menghargai suara setiap individu yang hadir sebelum membuat keputusan muktamad.

“Ingin saya tegaskan perdana menteri merupakan pemimpin yang mengutamakan kepentingan serta pandangan semua pihak dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan atau PH merupakan keputusan bersama.

“Saya percaya ahli mesyuarat jemaah menteri yang lain boleh mengesahkan perkara ini.

“Isu seperti Statut Rom, Lynas, ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan pelbagai isu lain telah dibincang dan diputuskan secara terbuka dan penuh muafakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Santiago dilaporkan berkata, kuasa membuat keputusan di peringkat eksekutif patut dikongsi secara sama rata dalam kalangan parti komponen PH, khasnya mengenai isu kontroversi membabitkan kaum dan agama.

Katanya, ada terlalu banyak kuasa di tangan perdana menteri dan Mahathir sering membuat keputusan bersendirian bagi pihak rakyat.

“Kita tidak boleh menyingkirkan bekas perdana menteri, Najib Razak hanya untuk menjadi sepertinya.”