Ulang-alik 100km jual ikan masin sara isteri sakit

Untuk menyara kehidupannya dan isteri yang uzur, seorang warga emas dari Muar, Johor sanggup berulang alik sejauh 100 kilometer setiap hari untuk mencari rezeki dengan menjual ikan masin.

Warga emas tersebut, Md Zin Ahmad, 63, dari Bukit Pasir, Muar keluar dari rumah seawal jam 8 pagi untuk menaiki bas ke Melaka Sentral.

Md Zin menjual kira-kira 100 bungkus ikan masin yang diperoleh dari Parit Jawa, Muar.

Beliau akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk pastikan semua ikan masin yang dibawa terjual.

Beliau memberitahu adakalanya orang ramai tidak peduli dengan jualannya, namun dia tidak sesekali mendesak.

Md Zin berkata isterinya Fatimah Md Said, 73, terlantar di rumah akibat sakit tua dan dia tidak mahu membebankan empat anak kerana mereka mempunyai keluarga sendiri.

Md Zin hanya memperoleh komisen sebanyak 50 sen bagi setiap bungkus jualan ikan masin dan terpaksa berbelanja kira-kira RM30 sehari untuk tambang pergi dan pulang, perbelanjaan makan sehingga jam 9 malam.

Menurutnya lagi, beliau terpaksa berjalan ke kawasan Melaka Sentral untuk menjual ikan masin kerana sambutan di situ lebih menggalakkan, berbanding tempat lain.

Katanya lagi, jika ada rezeki lebih, pelanggan yang sedia ada akan mencarinya untuk menempah bekalan ikan masin untuk majlis kenduri kesyukuran dan kenduri perkahwinan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]