Ahli Parlimen Klang mahu akhiri isu proses buat keputusan PH

Charles Santiago ialah ahli Parlimen Klang.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mahu menghentikan perdebatan antara beliau dan beberapa pemimpin kerajaan atas gesaannya untuk mengkaji semula proses membuat keputusan Pakatan Harapan.

Katanya, beliau tidak berhasrat memanjangkan isu itu dan hanya mencadangkan langkah yang boleh membantu mengurangkan masalah dalam negara.

“Perdana menteri sudah memberi respons, jadi biarkan ia (berakhir di sana). Saya rasa itu cara terbaik,” katanya yang juga pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dalam satu seminar mengenai pencemaran sungai dan impak ke atas bekalan air di Semenanjung Malaysia anjuran suruhanjaya itu hari ini.

Kelmarin, Santiago dilaporkan berkata, kuasa membuat keputusan di peringkat eksekutif patut dikongsi secara sama rata dalam kalangan parti komponen PH, khasnya dalam isu kontroversi membabitkan kaum dan agama.

Katanya, ada terlalu banyak kuasa di tangan perdana menteri dan mendakwa tindakan Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan secara bersendirian bagi pihak rakyat, membimbangkan.

Susulan itu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik tampil mempertahankan Mahathir dengan berkata, beliau mengutamakan kepentingan serta pandangan semua pihak dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan atau PH merupakan keputusan bersama.

Maszlee turut menyifatkan dakwaan pemimpin DAP itu sebagai tidak berasas dan pembohongan.

Santiago membalasnya dengan meminta Maszlee “menjaga mulutnya dan fokus terhadap tugasnya”.

Dalam tindak balasnya terhadap kenyataan Santiago, Mahathir secara sinis berkata, beliau akan meminta kebenaran ahli Parlimen itu ketika membuat keputusan pada masa depan.

Bagaimanapun, Santiago berkata, beliau hanya mencadangkan isu kontroversi dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH, bukannya setiap keputusan.

“Selepas membincangkan isu dan mencapai penyelesaian, isu itu boleh dibawa ke Kabinet. Itu saja cadangan saya.”

Beliau berkata, ini ialah amalan di Indonesia dan negara Eropah, di mana parti komponen kerajaan akan membincangkan isu secara bersama sebelum membawanya ke Kabinet.

“Sekarang, terpulang kepada Kabinet, perdana menteri dan Majlis Presiden untuk membuat keputusan. Kita biarkan ia berakhir di sana.”

Mengenai kenyataan Mahathir, Santiago berkata: “Kita ialah rakyat Malaysia, kita semua di tahap sama (dengan perdana menteri).”

Katanya, beliau sedia menerima tawaran Mahathir untuk membincangkan secara peribadi sebarang keputusan pada masa depan.