Guan Eng enggan ulas pendirian berhubung Lynas

Lim Guan Eng (2 dari kiri) dan Yeo Bee Yin (3 dari kiri) diserbu pemberita selepas tamat mesyuarat tertutup kepimpinan DAP malam tadi.

KUALA LUMPUR: Selepas 3 jam pertemuan bersama barisan kepimpinan parti, pemimpin DAP enggan mengulas pendirian mereka berhubung kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

“Kita mengadakan satu pertemuan yang baik untuk bertukar-tukar pandangan. Ianya dipengerusikan Yeo Bee Yin,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kepada pemberita sebelum mengelakkan diri daripada sebarang pertanyaan lanjut.

Mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat DAP malam tadi turut dihadiri veteran DAP Lim Kit Siang, Naib Pengerusinya Gobind Singh Deo dan Anthony Loke Siew Fook.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Yeo Bee Yin memberitahu beliau akan mengeluarkan kenyataan hari ini (15 Ogos) iaitu hari yang sama kerajaan akan mengumumkan keputusan terhadap lesen pengoperasian Lynas.

Terdahulu, ahli Parlimen DAP Wong Tack mendakwa DAP berpendirian Lynas mesti dihentikan segera.

“Mereka yang menyokong saya termasuk beberapa menteri Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir perjumpaan tertutup itu.

Wong yang juga ahli Parlimen Bentong memberitahu pihaknya sudah berunding dengan beberapa pengamal undang-undang untuk menyaman syarikat nadir bumi tersebut.

“Pada masa ini, kami bersedia untuk satu perjuangan yang sukar demi memastikan tanah-tanah kita tidak akan berakhir sebagai tanah lambakan radioaktif,” katanya.