Jangan sebar spekulasi Nora Anne dirogol Orang Asli, kata polis

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat Nora Anne Quoirin dirogol Orang Asli. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas dengan mendakwa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin dirogol Orang Asli.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat remaja berusia 15 tahun itu dirogol Orang Asli.

“Laporan bedah siasat belum ada, jangan buat kenyataan dan spekulasi tanpa asas. Polis akan ambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya ketika FMT hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter mendakwa Nora dirogol Orang Asli kerana mayatnya ditemui dalam keadaan tidak berpakaian.

Polis hari ini berkata, sepasukan pakar patologi dari Kuala Lumpur memulakan proses bedah siasat pada 10 pagi tadi dan ia dijangka selesai kira-kira 8 malam ini.

Semalam, ibu bapa Nora mengesahkan mayat berkulit cerah yang ditemui pada 1.57 tengah hari ialah anak mereka yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Pantai, Negeri Sembilan pada 4 Ogos lalu.

Nora yang mempunyai masalah pembelajaran tiba di Malaysia pada 3 Ogos lalu bersama keluarganya untuk percutian 2 minggu di Negeri Sembilan.

Peguam, Sankara Nair yang mewakili keluarga Nora dilaporkan berkata, hasil laporan bedah siasat akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan inkues.