Kertas siasatan exco Perak didakwa rogol amah siap minggu ini, kata polis

Seorang wanita Indonesia membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya, Paul Yong Choo Kiong di rumahnya di Meru pada awal bulan lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis Perak menjangkakan siasatan kes seorang Exco Perak yang didakwa merogol seorang pembantu rumahnya boleh selesai dalam minggu ini, selepas kertas siasatan itu dipulangkan pengarah pendakwaan negeri minggu lalu.

“Siasatan masih dijalankan untuk beberapa perkara dan apabila selesai minggu ini, kita akan angkat pada Pengarah Pendakwaan Negeri,” kata Ketua Polis Perak, Razarudin Husain kepada FMT hari ini.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia yang berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Perak, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Polis menahan Yong keesokannya untuk membantu siasatan dan beliau dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan ke atasnya selesai dalam masa 24 jam.

Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata, polis menyerahkan laporan kimia, perubatan dan kertas siasatan kepada pengarah pendakwaan negeri pada 7 Ogos lalu.

Katanya, laporan itu kemudiannya akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Dua hari kemudian, Razarudin berkata, kertas siasatan itu dikembalikan kepada pihaknya untuk siasatan lebih terperinci untuk memberi keadilan kepada kedua-dua pihak.