Nora sentiasa di hati, kata keluarga remaja Ireland

Nora Anne Quoirin ditemui meninggal dunia selepas 10 hari kehilangannya di sebuah resort di Seremban. (Gambar Lucie Blackman Trust dan keluarga)

PETALING JAYA: Ahli keluarga remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang ditemui mati semalam, berterima kasih kepada pihak yang berusaha mencari anak mereka yang dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

Menurut kenyataan keluarga itu, insiden membabitkan Nora secara tidak langsung menyatukan banyak pihak khususnya dari Perancis, Ireland, Britain dan Malaysia yang memberikan sokongan kepada keluarga itu.

“Kami ucapkan terima kasih kepada pihak yang berusaha mencari Nora dan lakukan yang terbaik untuk mencarinya.

“Kami juga berterima kasih kepada rakyat tempatan di sini dan mereka yang jauh dan dekat atas doa dan sokongan selama ini,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop mengesahkan mayat remaja berkulit cerah yang ditemui semalam adalah Nora, yang dilaporkan hilang dari sebuah resort 4 Ogos lepas.

Menurut ahli keluarga, Nora akan sentiasa berada di dalam hati. Bahkan merupakan anak yang paling berharga dan kasih sayang terhadapnya tidak ternilai.

“Kepada semua rakan-rakan dan ahli keluarga di tanah air, kami tidak dapat membalas semua kasih sayang sudah diberikan.

“Kekejaman atas pemergiannya tidak terganggung, hati kami patah. Kami akan sentiasa menyayangi Nora,” katanya.

Nora yang bermasalah pelajaran, hilang sewaktu bercuti bersama keluarganya di Dusun Resort, di Nilai, Negeri Sembilan pada 3 Ogos lalu.

Pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat terbesar melibatkan 348 anggota, termasuk pasukan elit polis VAT 69.

Orang ramai termasuk kumpulan pendaki gunung berpengalaman turut terlibat dalam operasi mencari yang dijalankan.