Peguam negara akan tentukan jika perlu inkues siasat kematian Nora Anne, kata peguam
Peguam, Sankara Nair yang mewakili keluarga Nora Anne Quoirin berkata, ia bergantung kepada bukti dalam laporan bedah siasat dan siasatan lain oleh polis.
SEREMBAN: Hasil laporan bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan inkues.
Peguam, Sankara Nair yang mewakili keluarga Nora berkata ia merupakan prosedur biasa yang perlu dilakukan dan peguam negara akan menentukan tindakan lanjut.
“Secara prosedur, apa yang akan berlaku ialah satu salinan laporan bedah siasat akan diserah kepada pejabat AG (peguam negara) dan terpulang kepada AG membuat keputusan tentang keperluan mengadakan inkues.
“Biasanya kematian secara mengejut seperti ini akan membawa kepada inkues, tetapi sekali lagi ia bergantung kepada bukti yang dibentangkan dalam laporan bedah siasat dan siasatan lain oleh polis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ditanya kehadiran keluarga Nora di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban pagi ini, Sankara berkata, ia bertujuan mengesahkan identiti mayat itu sekali lagi sebelum bedah siasat dimulakan.
Mengulas keadaan keluarga Nora, katanya, mereka masih dalam keadaan trauma dan sedih.
“Kami belum membincangkan rancangan seterusnya…Saya rasa mereka masih menimbangkan tindakan seterusnya dan mereka masih bersedih dan saya fikir ia belum ada dalam fikiran mereka.”
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman berkata proses bedah siasat mayat Nora memerlukan lebih 3 jam.
Semalam, ibu bapa Nora mengesahkan mayat berkulit cerah yang ditemui pada 1.57 tengah hari ialah anak mereka yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Pantai, Negeri Sembilan pada 4 Ogos lalu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Nora yang mempunyai masalah pembelajaran tiba di Malaysia pada 3 Ogos lalu bersama keluarganya untuk percutian 2 minggu di Negeri Sembilan.