Pelarian Somalia harapkan sinar kehidupan di Malaysia

Muhammad Ali Buwe, pelarian dari Mogadishu di Somalia.

AMPANG: Tiga tahun lalu, Muhammad Ali Buwe yang melarikan diri daripada keganasan perang dan kematian di Somalia, tiba di perairan Malaysia dengan isterinya dengan harapan dapat membina kehidupan baru di sini.

Muhammad, 24, kini menjadi bapa dan pemimpin komuniti pelarian Somalia di Kuala Lumpur. Namun melalui bab baru dalam kehidupan kini tidak mudah bagi penduduk yang berasal dari Mogadishu itu.

Sebagai pelarian, dia berdepan masalah mendapatkan pekerjaan dan akses kepada pendidikan serta kesulitan berterusan dalam proses kelahiran anak lelakinya.

Namun, kesulitan itu mendorongnya untuk membantu komuniti Somalia di Malaysia.

“Perkara yang paling penting bagi saya, selain keluarga saya, adalah keperluan komuniti saya. Itulah yang mendorong saya melakukan sesuatu untuk mereka.

“Salah satu perjuangan terbesar mereka ialah halangan bahasa,” kata Muhammad yang fasih berbahasa Inggeris kepada FMT.

“Saya tahu saya boleh melakukan sesuatu dengan memahami bahasa Inggeris untuk memperbaiki keadaan mereka.”

Muhammad kini memantau aktiviti pendidikan dan belia komuniti Somalia tempatan dan juga pengarah urusan sebuah sekolah komuniti pelarian Somalia yang dimulakan di Gombak.

Terdapat sekolah lain di kawasan sekitarnya tetapi mereka mempunyai kapasiti pendaftaran yang terhad untuk pelajar.

Ini bermakna mereka mempunyai senarai menunggu yang panjang. Sementara itu, hampir 200 kanak-kanak Somalia tidak mempunyai pendidikan, kata Muhammad.

Dengan penubuhan sekolahnya, Muhammad dapat menyediakan pendidikan kepada kira-kira 100 kanak-kanak.

Mereka adalah sebahagian daripada 1,000 keluarga di komuniti setempatnya. Muhammad menganggarkan lebih 3,000 orang Somalia berlindung di Malaysia.

Beliau berharap usahanya membantu komuniti Somalia di Malaysia akan memulihkan impian dan cita-cita yang ditinggalkan ketika mereka melarikan diri dari negara asal.

“Sekarang, kami berjuang tetapi saya tahu ada sinar di hari mendatang.

“Kehidupan sukar, sudah pasti mencabar, tetapi saya sentiasa bersyukur kepada Allah kerana sebagai pelarian, saya menyedari komuniti kami terdiri daripada mereka yang mencari penyelesaian kepada masalah mereka.

“Kehidupan mungkin sukar tetapi kami masih berusaha untuk melakukannya.”