Punca kematian Nora belum dapat disahkan, kata polis

PETALING JAYA: Punca kematian remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemui pada Selasa sejak dilapor hilang sejak 4 Ogos lalu, belum dapat disahkan selepas 8 jam dibedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman berkata, bedah siasat yang bermula 11.45 pagi tadi sehingga malam tadi masih belum selesai, oleh itu pihak berkuasa belum terima keputusan sebab-sebab kematian.

“Saya tidak dapat pastikan sehingga jam berapa bedah siasat yang dikendali pakar patologi. Mereka masih menjalankan bedah siasat,” katanya pada sidang media di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

Polis mengesahkan identiti Nora selepas pengecaman mayat dibuat oleh keluarganya.

Nora hilang sewaktu bercuti bersama keluarganya di Dusun Resort, di Nilai, Negeri Sembilan pada 3 Ogos lalu.

Pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat terbesar melibatkan 348 anggota, termasuk pasukan elit polis VAT 69.

Orang ramai termasuk kumpulan pendaki gunung berpengalaman turut terlibat dalam operasi pencarian.