Putrajaya pertahan keputusan, bukan lagi khat tapi ‘tulisan Jawi’

PETALING JAYA: Jemaah menteri hari ini mengekalkan keputusan memperkenalkan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan (SJK), disebalik bantahan berterusan kumpulan-kumpulan pendidikan bukan Melayu dan majlis agama bukan Islam.

Kementerian Pendidikan juga mengumumkan jemaah menteri menetapkan seni tulisan itu akan diperkenalkan dengan nama “pengenalan tulisan Jawi”.

Tidak seperti khat, “tulisan Jawi” disebut dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, sebagai salah satu tulisan bagi bahasa kebangsaan.

“Pengenalan tulisan Jawi diteruskan tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK,” katanya dalam kenyataan.

Ia hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid Tahun 4 mulai 2020, murid Tahun 5 pada 2021 dan murid Tahun 6 pada 2022 di sekolah jenis kebangsaan, tambahnya.

Jemaah menteri juga mengekalkan keputusan bahawa “pengenalan tulisan Jawi” itu dimuatkan sebanyak 3 muka surat dalam buku teks, dan ia tidak akan dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

“Kementerian berharap melalui keputusan yang dibuat oleh mesyuarat jemaah menteri ini, isu pengenalan tulisan Jawi di SJK tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai,” katanya.

Terdahulu, Menteri Maszlee Malik menafikan pengenalan tulisan Jawi ialah satu bentuk Islamisasi, susulan dakwaan daripada penentang rancangan itu.