Terpulang pada PM tangani isu Zakir Naik, kata menteri DAP

M Kula Segaran (kiri) dan Gobind Singh Deo menggesa perdana menteri mengambil tindakan terhadap Zakir Naik.

PETALING JAYA: Dua menteri daripada DAP berkata, terpulang kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan cara menangani Dr Zakir Naik yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi dengan mempersoalkan kesetiaan masyarakat India kepada perdana menteri.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata mereka membangkitkan isu itu kepada Mahathir dan Kabinet pagi tadi.

Mereka menggesa tindakan diambil terhadap Naik dan pendakwah kontroversi itu tidak dibenarkan kekal di Malaysia.

Katanya, Mahathir “mengambil perhatian terhadap kebimbangan mereka”.

“Terpulang kepada beliau untuk mempertimbangkan kedudukan itu dan membuat keputusan secepat mungkin terhadap apa yang perlu dilakukan untuk menangani masalah itu,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Naik yang dikehendaki pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang di negaranya, baru-baru ini mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun menerima “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Naik bagaimanapun mendakwa pengkritik memetiknya di luar konteks dalam satu ceramahnya di Kelantan.

Gobind dan Kula turut mengulangi kebimbangan yang disuarakan banyak pihak berhubung ucapan dan kenyataan Naik yang bersifat menghasut.

“Kami menyuarakan bantahan terhadap Zakir Naik mengadakan sebarang acara di Malaysia atau membuat kenyataan yang akan menjejaskan hubungan antara kaum dan ketenteraman awam.”

Semalam, Mahathir mendakwa pendakwah popular itu mungkin dibunuh jika beliau dihantar pulang ke India.