Tok Mat sokong keputusan perkenal khat, tak perlu restu semua gubal silibus

Mohamad Hasan berkata, menteri pendidikan bersama kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong dan pelbagai pihak berkepentingan masih tidak memahami cabaran sebenar hari ini ialah membangunkan sistem pendidikan terbaik untuk masa depan Malaysia.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menyokong keputusan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan memperkenalkan seni khat di sekolah rendah bukan untuk Islamisasi dan berkata, Putrajaya tidak perlu mendapat restu semua parti politik untuk menggubal kurikulum pendidikan negara.

“Kita mesti jelas kenapa khat diperkenalkan. Yang pasti bukan untuk tujuan Islamisasi. Islamisasi tidak memerlukan khat untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Ia juga bukan persoalan tiada rundingan antara Kementerian Pendidikan dengan semua parti politik. Sejak bila kurikulum pendidikan kebangsaan harus digubal melalui konsultasi dan restu politik? Biarkan penggubal kurikulum kita dengan tugas mereka. Mereka mempunyai kearifan yang kita tidak miliki.”

Baru-baru ini, kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong melancarkan satu petisyen terhadap pengenalan seni khat yang turut disokong kumpulan pendidikan Tamil berdasarkan “penyelidikan beberapa cendekiawan dan pakar kesusasteraan” yang menunjukkan seni khat digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan pengenalan seni khat akan dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa memutuskan kaedah pengajarannya dan ia tidak akan dinilai dalam peperiksaan.

Katanya, cadangan 6 muka surat buku teks bahasa Melayu untuk dikhasnya bagi pengajaran seni khat turut dikurangkan kepada 3 muka surat susulan bantahan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil serta ahli DAP.

Maszlee turut menafikan langkah memperkenalkan seni khat ialah satu bentuk Islamisasi.

Hari ini, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, polemik seni khat menunjukkan Malaysia masih jauh daripada matlamat menjadi negara maju kerana rakyat tidak tahu dasar pendidikan yang diperlukan.

“Cabaran sebenar hari ini ialah membangunkan sistem pendidikan terbaik untuk masa depan Malaysia. Sehingga saat ini, menteri pendidikan, Dong Jiao Zong dan pelbagai pihak berkepentingan masih tidak memahaminya.”

Katanya, kebanyakan pihak menganggap coding, sains dan teknologi, matematik dan bahasa Inggeris akan menjadikan Malaysia dan rakyatnya kompetitif, tetapi lupa pembangunan negara moden dan maju menjangkaui spektrum sains serta teknologi.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, kekuatan sebenar Malaysia ialah kemajmukannya, bukannya kewibawaan dalam bidang sains dan teknologi.

“Pelabur ingin melabur di Malaysia bukan kerana Malaysia mempunyai bakat terbaik dunia, tetapi keyakinan mereka terhadap kestabilan politik dan keharmonian kaum yang unik, malah teruji dek zaman.”

Mohamad berkata, rakyat perlu memikirkan kewajaran memperkenalkan pendekatan pendidikan liberal kepada generasi muda.

Katanya, pendidikan liberal bukan pendidikan tanpa pedoman agama dan norma hidup, tetapi ia adalah sistem yang mengintegrasikan ilmu kemanusiaan serta sastera dengan disiplin sains dan teknologi.

“Anak-anak hari ini menjalani kehidupan harian dengan gajet untuk tweeting, googling ataupun e-mailing dan sebagainya. Mereka celik teknologi, tetapi mereka juga mesti faham sains dan teknologi mesti bermanfaat untuk masyarakat.

“Kerana itu ilmu berkaitan kemanusiaan, bahasa, kepercayaan agama, kerencaman budaya dan pelbagai yang lain itu penting. Ia akan memberikan sains dan teknologi itu dimensi manusiawinya.”

Beliau berkata, kerajaan perlu mengembalikan pendidikan kepada landasan sebenar, iaitu merangsang rasa ingin tahu dalam kalangan pelajar.

“Apabila kita mendedahkan pelajar di sekolah vernakular tentang khat, ia dilakukan bukan untuk menjadikan mereka mahir dalam khat, apatah lagi menjadi pakar jawi.

“Ia dibuat untuk merangsang rasa ingin tahu dalam diri mereka agar mereka berfikir dan mencari jawapan kenapa khat dan jawi itu sedemikian rupa. Apa kepentingan dan nilainya?

“Kita mesti menanam dalam diri mereka semangat ingin tahu ini kerana sains terbaik dan teknologi termaju hanya terhasil daripada rasa ingin tahu yang mendalam.”

Beliau bimbang peradaban akan terancam jika tiada orang berminat mempelajari sejarah negara kerana ia bukan subjek berdaya saing dan bahasa Melayu menjadi bahasa picisan disebabkan bahasa Inggeris serta kod pengaturcaraan komputer ialah bahasa global.