Tukang paip rompak pemandu Grab dipenjara 3 tahun, 1 sebatan

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 16 Mei 2019. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Seorang tukang paip dihukum penjara 3 tahun dan 1 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan ke atas seorang pemandu Grab.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Mar Kong Ming, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan cedera semasa melakukan rompakan terhadap Yeoh See Yeh, 33, di tepi Jalan Teratai 2, Setapak, pada 2.45 petang, 9 Mei 2019.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 16 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat atau denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia penyara tunggal keluarga dan mempunyai 2 anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kecederaan, trauma dan kerugian yang dialami mangsa.

“Juga mengambil kira kekerapan jenayah samun supaya memberi pengajaran kepada pesalah,” katanya.

Mahyon turut menasihati tertuduh yang akan menjalani hukuman itu di Penjara Kajang supaya belajar kemahiran di dalam penjara agar dapat mempraktiknya selepas dibebaskan.

“Di penjara nanti belajar buat kemahiran pertukangan, buat roti atau gunting rambut… Jangan buat jenayah lagi,” katanya kepada tertuduh yang hanya menundukkan kepalanya.