Tukar PM tak selesai masalah perpecahan, kata Pemuda PPBM

Ulya Aqamah Husamudin (kiri) dan Hassan Abdul Karim (kanan).

PETALING JAYA: Pemuda PPBM membidas seorang wakil rakyat PKR kerana menyeru Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim atas isu kaum, agama dan raja yang membelit negara ketika ini.

Menyifatkan seruan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim “tidak bertanggungjawab” dan “tidak berasas”, Ketua Penerangan Ulya Aqamah Husamudin berkata menukar perdana menteri pada ketika ini tidak akan menyelesaikan masalah.

“Hanya dengan menukar perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar, masalah-masalah ini tidak akan selesai dengan ajaibnya,” katanya kepada FMT.

“Setiap permasalahan sepatutnya dihadapi bersama oleh ahli Parlimen dan menteri. Mereka perlu sama-sama tenangkan rakyat dan mengelakkan ketegangan terus berlaku serta mengelakkan keadaan menjadi keruh.”

Ulya mengingatkan Hassan tentang resam tanggungjawab bersama menteri-menteri, iaitu semua perkara yang diputuskan kerajaan dianggap hasil keputusan jemaah menteri.

“Tidak adil meletakkan beban pada Mahathir seorang, kerana semua anggota jemaah menteri berkongsi beban tersebut.

“Berhenti menuding jari dan mengambil kesempatan,” katanya.

Terdahulu, Hasan berkata Mahathir jelas tidak dapat menangani banyak isu sekarang, termasuk bantahan kumpulan pendidikan Cina tentang pengajaran khat.

Beliau berkata perdana menteri seperti hilang punca dan daya menghadapi kritikan pelbagai pihak, terutama daripada Dong Zong sehingga menuduh pertubuhan itu rasis.

“Dengan munculnya isu yang banyak untuk memecahbelahkan rakyat, sudah sampai masanya proses peralihan kuasa dilaksanakan segera sekarang ini sekiranya kerajaan Pakatan Harapan hendak diselamatkan,” katanya.