Umno setuju Dong Zong ‘rasis’, gesa Putrajaya haramkan Dong Zong

Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Umno setuju dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong rasis dan mencabar Putrajaya mengharamkan pertubuhan pendidikan Cina itu, susulan kontroversi pengajaran khat di sekolah aliran.

Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob mendakwa Dong Zong seperti biasa akan menjuarai isu berkaitan kaum Cina, dan jika ada isu berkaitan penentangan terhadap perkara berkaitan Melayu dan Islam, pertubuhan itu juga akan menjadi pemain utamanya.

“Apakah kita sekarang ini bawah kerajaan DAP-Pakatan Harapan akan berterusan berbicara dan dihidangkan dengan isu perkauman dan tuntutan-tuntutan melampau Dong Zong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Negara pasti tidak aman jika Dong Zong terus dibenarkan bersuara lantang,” tambahnya.

Mahathir semalam sekali lagi membidas Dong Zong, mengatakan kumpulan itu sentiasa berjuang untuk kepentingan satu kaum sahaja, sedangkan Malaysia negara berbilang bangsa.

Ismail hari ini berkata Dong Zong salah satu persatuan yang memainkan peranan dalam mengemukakan tuntutan dalam Dokumen Suqiu atau Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia pada 1999.

Bekas menteri itu mendakwa dokumen itu mengandungi pelbagai tuntutan yang mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera dan Islam.

“Setiap perkara yang berkaitan orang Melayu menjadi masalah kepada Dong Zong,” tambahnya.

“Cadangan sebelum ini untuk mewujudkan Sekolah Wawasan di mana Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dikumpulkan dalam satu kampus ditentang oleh Dong Zong atas alasan tidak mahu budaya Melayu diterapkan kepada anak-anak mereka nanti,” katanya lagi.