Di sebalik gesaan dihantar pulang, keluarga Zakir Naik akan muncul di Perlis

Poster ‘Malaysia Reverts Camp’ yang menurut penganjur adalah perhimpunan saudara baru pertama dan terbesar di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Baru sahaja menerima gesaan dihantar pulang ke negara asal berhubung ucapan kontroversi di pantai timur, penceramah Dr Zakir Naik dan keluarganya dijangka akan muncul di acara 3 hari di Perlis minggu ini dalam sesi khas yang terbuka kepada lelaki dan wanita.

Zakir, isterinya Farhat dan anak mereka Fariq, Rushda dan Zikra akan muncul dalam acara dibuat untuk saudara baru bersama agensi kerajaan serta badan penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disenaraikan sebagai penganjur bersama.

Acara yang bermula esok adalah sebahagian daripada apa yang disebut “Malaysia Reverts Camp” anjuran kumpulan penyebar Islam yang berpangkalan di Perlis, One Centre Malaysia dan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Melayu Perlis.

“Revert” atau kembali ke keadaan asal adalah istilah yang digunakan beberapa pendakwah Islam yang percaya bukan Islam yang memeluk agama Islam kembali kepada agama asal mereka.

Kem tersebut akan diadakan di Masjid Al Hussain yang juga dikenali sebagai “Masjid Terapung”.

Senarai penceramah utama pada acara tersebut termasuk Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, yang secara terbuka mempertahankan Zakir, dan penceramah motivasi Islam, Zamri Vinoth dan Ridhuan Tee Abdullah.

Antara tajuk yang disenaraikan ialah “Da’wah or Destruction”, “Religion In The Right Perspective”, “Flee to Allah”, “Who Are Your True Friends”, “Purpose of Life” dan “Women’s Movement for Creating Noble Generations”.

Terdapat juga sesi soal jawab.

Penganjur menjadikan acara itu sebagai perhimpunan saudara baru yang pertama dan terbesar di Malaysia.

“InsyaAllah, program ini akan mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records,” kata penganjur bulan lepas.

Gesaan supaya Zakir dihantar semula ke India meningkat berikutan siri ceramah di Kelantan baru-baru ini, di mana beliau menyentuh mengenai kesetiaan masyarakat India Malaysia kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun menerima lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Beliau kemudian mendakwa pengkritiknya memetik ucapannya di luar kontek.

Laporan media kemudian memetik beliau sebagai respon atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini berkata kebanyakan masyarakat Cina di Malaysia tidak dilahirkan di negara ini.

Ini mencetuskan tindak balas ramai pihak, termasuk pembangkang, menteri dan anak perempuan Mahathir, Marina Mahathir.

Zakir, yang mempunyai status penduduk tetap, dikehendaki pihak berkuasa di India berhubung penyiasatan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahathir mempersoalkan kemungkinan pendakwah itu menerima perbicaraan yang tidak adil jika beliau dihantar kembali ke negara asalnya.