Fokus pada tugas, Saifuddin beritahu pemimpin PKR gesa Dr M berundur

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini menggesa Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim memberi tumpuan kepada tugas, susulan gesaannya supaya Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana gagal menangani isu kaum, agama dan royalti.

Katanya, beliau telah menghubungi Hassan dan memintanya menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Saya meminta dia memberi tumpuan kepada isu-isu yang menjejaskan rakyat,” katanya kepada pemberita pada satu majlis, sambil menambah perkara itu akan ditangani “mengikut perjanjian sebelum ini”.

Di bawah konsensus PH, Mahathir sepatutnya menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, tiada kerangka sama ditetapkan untuk pemindahan kuasa.

Hassan yang membuat gesaan itu, berkata beliau menjadi antara ahli Parlimen PH yang menandatangani petisyen yang menggesa Agong melantik Mahathir sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata sudah tiba masanya ahli politik veteran itu meletak jawatan yang dilihat tidak dapat menangani banyak isu dalam negara berikutan perbezaan dalam kalangan anggota Kabinet mengenai kontroversi berkaitan kaum dan agama.

Mahathir berulang kali mengatakan beliau akan menunaikan janjinya untuk memberi laluan kepada Anwar, sementara ahli Parlimen Port Dickson itu pula kekal mengatakan beliau tidak tergesa-gesa untuk menjadi perdana menteri.