Hadi pertahan Zakir Naik, bidas pengkritik cetek ilmu

Abdul Hadi Awang berkata, Zakir Naik ialah pengkaji perbandingan agama, bukannya pengganas. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mempertahankan Dr Zakir Naik dengan menyifatkan pengkritiknya cetek ilmu kerana gagal mematahkan hujah pendakwah kontroversi itu.

Katanya, Naik merupakan pengkaji perbandingan agama, bukannya pengganas.

“Kalau mahu pengetahuan berkenaan perbandingan agama, biarlah orang yang mendalami dan mengalaminya. Kalau tidak laksana orang yang tinggal di hutan yang tidak bersekolah bercakap tentang ilmu angkasa lepas, kata orang tua, kalau kail panjang sejengkal, jangan mengail di lautan dalam.

“Zakir adalah seorang pengkaji perbandingan agama dan berhujah dengan ilmu perbandingan dengan hafazan kitab-kitab suci pelbagai agama dengan bahasa asalnya.

“Hujah untuk bertindak ke atasnya wajib ditolak semata-mata tidak mampu mematahkan hujahnya, bukan kerana dia membawa senjata untuk mengganas. Hentikanlah mencipta hujah yang tiada kaitan.

“Sepatutnya hujah dilawan dengan hujah, inilah amalan dalam negara demokrasi, bukan dengan tindakan laksana Raja Namrud yang kalah berhujah menghadapi Nabi Ibrahim,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebook hari ini.

Hadi turut menegur segelintir umat Islam yang mengkritik Naik tanpa ilmu agama tinggi.

“…Islam adalah agama bagi persekutuan, tetapi malangnya terdapat kalangan penganut Islam sendiri yang buta al-Quran yang lebih tidak matang daripada buta huruf.

“Sepatutnya mereka tahu dan sedar betapa kewajipan kepada penganut Islam mempertahankan agamanya dan melindungi pendakwahnya apabila diancam.

“Saya tegaskan isu Zakir jangan sampai melanggar lampu isyarat berwarna merah. Hanya orang Islam yang munafik saja atau imannya berpenyakit atau hilangnya kemanisan iman di dalam diri sehingga menjadi laksana orang yang tidak kenal lampu isyarat merah dan hijau.

“Hanya sedikit daripada kalangan penganut bukan Islam itu yang melampau, dan masih ramai lagi yang berfikiran matang dan sejahtera yang boleh berbincang dengan kepala dingin.”

Ahli Parlimen Marang itu turut memuji pendirian tegas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad walaupun berdepan desakan ahli politik Pakatan Harapan untuk menghantar Naik pulang ke India.

“Percayalah bahawa ini bukan keputusan peribadi seorang perdana menteri kerana lebih sejuta ahli PAS tidak mengizinkan Zakir dibiarkan saja dan percayalah bersama kami juga umat Islam daripada pelbagai parti dan NGO yang peka serta kalangan bukan Islam yang tetap bermasyarakat majmuk dan berperikemanusiaan mendukung konsep demokrasi dan hak kebebasan manusia yang sebenarnya.

“Jangan merempuh apabila lampu merah menyala kerana hak persaudaraan Islam itu mengatasi warganegara dan merentasi sempadan negara dan bangsa. Inilah hakikatnya, bukannya menghasut.”

Naik yang mempunyai status penduduk tetap di Malaysia, dikehendaki pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang di negara itu.

Beliau mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Anda tahu ada orang gelar saya tetamu. Jadi saya kata, sebelum saya, Orang Cina ialah tetamu. Jika anda mahu tetamu baru pulang, suruh tetamu lama pulang,” katanya dipetik Malaysiakini dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.