Isteri pemilik restoran daun pisang terkenal maut akibat kemalangan

Keadaan SUV Range Rover dipandu Harikrishnan yang hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan lalu melanggar pokok.

PARIT BUNTAR: Isteri pemilik restoran daun pisang terkenal, Anandha Bhawan meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bersama keluarga terlibat dalam kemalangan di KM 200.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian Sanusi Salleh berkata dalam kemalangan kira-kira 3.05 pagi itu mangsa K Puvaneswary, 47, maut di lokasi.

Katanya, suami mangsa N V Harikrishnan, 51, serta 2 anak pasangan tersebut H Veerasamy, 21, dan H Mehgulan, 17, mengalami kecederaan pada bahagian badan.

Menurut Sanusi, kejadian berlaku apabila kenderaan SUV Range Rover dipandu Harikrishnan yang dalam perjalanan dari Taiping ke Pulau Pinang hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan lalu melanggar pokok di bahagian hadapan.

“Akibat pelanggaran itu, Puvaneswary yang duduk di bahagian penumpang belakang meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sanusi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah pada kepala, manakala Harikrishnan dan 2 anaknya dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.