Ketua polis Besut putus ibu jari ditetak lelaki sakit mental

Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu melakukan pemeriksaan di halaman kediaman Ketua Polis Daerah Besut Mohd Zamri Mohd Rowi ekoran kejadian tetak tengah hari tadi. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Ketua Polis Daerah Besut, Terengganu, Mohd Zamri Mohd Rowi putus ibu jari kanan dan cedera di bahagian belakang kepala akibat ditetak seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Padang Luas, Besut, pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Ketua Polis Terengganu Aidi Ismail berkata sehubungan itu polis menahan suspek berkenaan pada pukul 4.15 petang ini di Felda Selasih, Besut selepas cuba melarikan diri.

“Ketika kejadian mangsa didatangi suspek berumur 32 tahun yang juga jiran mangsa yang mengadu mangsa menaman pokok kelapa di kawasan tanah miliknya.

“Mangsa tidak melayan dan menyuruh suspek untuk balik namun suspek ke kereta dan membawa keluar sebilah parang panjang dan menetak mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan Hospital Kubang Kerian, hari ini.

Akibat kejadian itu, Zamri, 55, mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan putus ibu jari tangan kanan.

Aidi berkata mangsa sebelum itu cuba untuk mengelak namun suspek sempat menetak di bahagian kepala sehingga suspek terjatuh dan berlaku pergelutan.

“Susulan itu suspek melibas parangnya dan terkena ibu jari kanan sehingga putus. Mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil dan masih dirawat di HUSM,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu polis Terengganu menjalankan siasatan dan mendapati mangsa mempunyai masalah mental.

“Sebelum ini suspek pernah mengadu kepada mangsa dengan mendakwa rumahnya diserbu oleh pihak polis, namun dakwaan itu tidak betul.

“Kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.