Larangan ke atas Zakir Naik kekal, kata Sarawak

Parti Maju Sabah turut menggesa kerajaan negeri menggunakan kuasa imigresennya untuk melarang Zakir Naik ke Sabah. (Gambar Bernama)

KUCHING: Sarawak bertegas Dr Zakir Naik masih dilarang menjejakkan kaki ke negeri itu, walaupun Putrajaya memutuskan tidak menyerahkan pendakwah kontroversi itu kepada pihak berkuasa India.

Naik dilaporkan berada dalam senarai larangan itu sejak Adenan Satem menjadi ketua menteri Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing berkata negeri itu tidak mahu membenarkan Naik ke negeri itu.

“Kenapa kita perlu benarkan seorang pentaksub agama memasuki Sarawak dan merosakkan keharmonian agama serta sosial?”

Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa ke atas perkara berkaitan imigresen di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mereka boleh menyekat individu yang dianggap tidak diingini daripada masuk ke negeri itu.

Desakan untuk Naik dihantar pulang ke India bertambah, susulan satu siri ceramahnya di Kelantan yang mencetuskan kontroversi dengan dakwaan penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Beliau turut dilaporkan berkata, orang Cina di Malaysia juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini mempertahankan Naik dengan menyifatkan pengkritik Islam tidak layak mempersoalkan kelayakannya untuk bercakap mengenai perbandingan agama.

Di KOTA KINABALU, Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa kerajaan negeri menggunakan kuasa imigresennya untuk melarang Naik ke Sabah bagi melindungi keamanan dan keharmoniannya.

Timbalan Presiden SAPP, Richard Yong, Edward Dagul dan Japiril Suhaimin berkata, Naik ialah individu kontroversi yang dikehendaki negara asalnya atas dakwaan pengubahan wang.

“Seorang tokoh kontroversi seperti ini tidak boleh dibenarkan memasuki Sabah. Jika kerajaan persekutuan memutuskan untuk membenarkan ‘penghasut’ itu kekal di Malaysia, Sabah perlu mengharamkan beliau ke negeri itu atas apa saja tujuan.

“SAPP lebih suka beliau dihantar pulang (ke India).”