Lelaki didakwa rompak, cederakan penghantar GrabFood

Tangkap layar daripada rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan seorang penghantar GrabFood diserang 2 lelaki selepas gagal mencuri motosikal mangsa.

PETALING JAYA: Seorang subkontraktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 2 pertuduhan cuba merompak motosikal milik penghantar makanan GrabFood dan mencederakan mangsa, yang videonya tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki diserang 2 individu dalam satu cubaan mencuri motosikal.

Abu Bakar Subianto, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di depan Majistret M Bharat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudin, 22, pada bahagian muka dan badan menggunakan pengunci motosikal.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa cuba merompak motosikal jenis Yamaha Y15 milik mangsa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di pintu depan Bangunan Phileo Damansara 2, di sini, pada 2.53 petang 9 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa.

Peguam, Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dilarang mendekati mangsa serta menetapkan 26 September ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang tidak membayar wang jaminan ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Dalam satu rakaman video yang tersebar di media sosial baru-baru ini menunjukkan seorang penghantar makanan GrabFood ditahan dan diserang 2 lelaki dalam satu kejadian mencuri motosikal yang gagal.

Mangsa mengalami kecederaan di telinga, kepala, belakang badan dan mulut.