Kau yang pilih Dreamedge untuk kereta nasional ke-3, Najib tepis PH

PETALING JAYA: Najib Razak menepis penjelasan menteri mengenai syarikat yang membangunkan projek kereta nasional ke-3 kerana pentadbiran sekarang yang mahukan projek itu dan memilih Dreamedge Sdn Bhd untuk membangunkannya.

Bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan BN di bawah pimpinannya tidak pernah bercadang membangunkan projek kereta nasional ke-3.

“Masa BN, kita tidak pernah mahu laksanakan projek Protiga (projek kereta nasional ke-3), projek ini langsung tidak wujud masa itu.

“Bukan BN yang pilih syarikat itu untuk projek tersebut, tetapi PH yang pilih,” tulisnya di Facebook malam ini.

Beliau menyifatkan ia sebagai “cubaan paling gagal” untuk menyalahkannya.

“Mula-mula, kerajaan PH janji tak akan guna sebarang dana awam untuk projek kereta nasional ke-3. Selepas itu, mereka terkantoi apabila syarikat yang mereka pilih didapati adalah milik kerajaan dengan saham biasa 10%.

“Belum masuk lagi sejumlah saham dalam bentuk RCPS (saham keutamaan boleh tukar boleh tebus) yang boleh ditukar menjadi saham biasa dan akan meningkatkan kepentingan kerajaan sehingga tahap 53%.

“Apabila kantoi, menteri ini cuba salahkan Najib.”

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking hari ini dilaporkan berkata, kerajaan terdahulu meluluskan sebuah GLC untuk membeli saham dalam Dreamedge Sdn Bhd.

Katanya, Venturetech Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai A-Bio Sdn Bhd yang dimiliki Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (Might) dilaporkan membuat pelaburan dan membeli saham kira-kira 10% dalam Dreamedge pada 2017.

“Ketika itu Pakatan Harapan bukan kerajaan. Tapi ada perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu membenarkan Might dan anak syarikatnya masuk ke dalam Dreamedge pada 2017,” kata Leiking.

Baru-baru ini, Dreamedge mengesahkan kerajaan membuat satu pelaburan ke atas syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Adri Adnan dilaporkan berkata, VentureTECH Sdn Bhd memiliki 10% ekuiti dalam Dreamedge.