Pakar ekonomi gesa kerajaan perluas asas cukai, perkukuh hasil cukai tidak langsung

Pakar ekonomi berkata, keutamaan kerajaan sekarang ialah memulihkan disiplin dan integriti kewangan tanpa mengetepikan pertumbuhan serta projek sedang berjalan, selain memastikan kepatuhan percukaian serta kecekapan pentadbiran.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa kerajaan supaya memperluas asas cukai negara, selari dengan syor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) supaya dikurangkan pergantungan pada hasil berkaitan minyak.

Bercakap kepada FMT, Hoo Ke Ping berkata, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) semata-mata tidak mencukupi untuk menampung perjalanan negara.

Merujuk kepada kejatuhan harga minyak mentah dan komoditi pada 2014, beliau berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada masa itu “membantu kerajaan menghadapi keadaan tersebut”.

Beliau memberi respons kepada laporan terbaru OECD yang menyebut tentang kesan positif peningkatan penyelarasan dalam dasar alam sekitar di peringkat sub-nasional dan peluang lebih besar bagi penggunaan cukai alam sekitar, terutamanya cukai karbon.

Kajian tersebut, yang dibentangkan di Putrajaya bulan lepas oleh timbalan setiausaha agung OECD Masamichi Kono, membincangkan keperluan menjadikan kewangan awam lebih mampan, mempertingkat perolehan kemahiran, memperkukuh integriti dan menambah produktiviti.

Ia juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah meningkatkan paras hasil cukai yang rendah, terutamanya dengan menghapuskan pelbagai pengecualian cukai dan meningkatkan kecekapan sistem percukaian.

Hoo mengingatkan tentang “petunjuk awal kemelesetan ekonomi” berikutan permintaan dunia yang rendah terhadap komoditi, termasuk minyak sawit, dan kesan perang perdagangan AS-China ke atas sektor elektronik.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan nasihat OECD supaya dihapuskan subsidi minyak dengan berkata, ia mungkin memberi kesan buruk kepada kerajaan.

“Dengan menghapuskan subsidi, kerajaan boleh dijatuhkan. Tak boleh begitu,” katanya, dengan merujuk pada langkah Abdullah Ahmad Badawi menaikkan harga minyak ketika beliau menjadi perdana menteri.

Pakar ekonomi, Yeah Kim Leng berkata, kebimbangan mengenai kewangan awam yang mampan, pemerolehan kemahiran dan produktiviti merupakan isu struktural jangka sederhana dan panjang yang sedia dimaklumi oleh kerajaan.

Pada masa ini kata beliau, keutamaan kerajaan ialah untuk memulihkan disiplin dan integriti kewangan tanpa mengetepikan pertumbuhan serta projek yang sedang berjalan, selain memastikan kepatuhan percukaian serta kecekapan pentadbiran.

“Keperluan meningkatkan cukai berasaskan penggunaan bukan keutamaan semasa, tetapi ia akan menjadi sebahagian daripada agenda reformasi cukai jangka panjang.”