Pemandu Malaysia terlibat kemalangan maut di Songkhla tiada lesen sah

Pada Selasa, seorang wanita warga Malaysia dan 2 rakannya yang sedang memandu kereta dari Krabi ke Hatyai melanggar 5 pemotong rumput di tepi Jalan Asia, Daerah Rattaphum, Songkhla. (Gambar Bernama)

SONGKHLA: Pemandu Malaysia yang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan 5 orang pemotong rumput di Songkhla, Selatan Thailand didapati memandu tanpa lesen ysah.

Wanita berusia 30 tahun itu didakwa memandu dengan cuai mengakibatkan kematian dan kerosakan harta awam.

Pemandu itu menghadapi hukuman penjara 10 tahun dan denda tidak lebih 20,000 baht (RM2,721), jika sabit kesalahan.

Polis Thai bersetuju mengurangkan ikat jamin daripada 500,000 baht (RM68,000) kepada 200,000 (RM27,000).

Bagaimanapun, wanita itu dilarang meninggalkan negara ini sehingga kesnya selesai.

Di samping itu, beliau perlu membayar sagu hati wang tunai 50,000 baht (RM6,764) masing-masing kepada keluarga mangsa berjumlah 250,000 baht (RM33,823).

Beliau juga dikenakan denda 200 baht (RM28) kerana memandu tanpa lesen sah.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Jojie Samuel berkata kedutaan akan memantau kes itu dari dekat.

“Kedutaan akan memberi bantuan sewajarnya yang diperlukan,” katanya.

Pada Selasa, wanita itu dan 2 rakannya sedang dalam perjalanan dari Krabi ke Hatyai, Songkhla sebelum kereta yang mereka naiki melanggar 5 pemotong rumput yang sedang berehat di tepi Jalan Asia, Daerah Rattaphum, Songkhla.