Pemimpin PH seru rakyat ketepi retorik rosakkan perpaduan

Pemimpin PH menyeru rakyat menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemimpin parti komponen Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan bersama hari ini menyeru rakyat menamatkan retorik yang merosakkan perpaduan negara.

Kenyataan yang dikeluarkan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohammad Sabu, berkata rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan latar belakang, perlu sentiasa memupuk perpaduan dan pemahaman sesama sendiri.

“Rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya, maka kepelbagaian ini semestinya dipertahan dan dihormati semua lapisan masyarakat,” kata kenyataan itu.

Memandangkan negara akan menyambut Hari Merdeka ke-62 dan Hari Malaysia ke-56 tidak lama lagi, mereka menyeru rakyat bermuhasabah mengenai kejayaan yang dicapai bersama serta cabaran yang perlu ditempuhi untuk membina negara yang bersih, adil dan berjaya.

“Apa yang rakyat Malaysia nikmati hari ini sudah pasti terus dinikmati apabila rakyat terus bersatu padu, mengukuh muafakat serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menegak negara hukum.

“Kita perlu sanggah polemik yang berniat membinasakan negara. Kita perlu menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum,” tambah mereka.

Kenyataan itu muncul di tengah-tengah ketegangan kaum yang semakin meningkat berikutan kontroversi seperti pengenalan khat dalam sukatan pelajaran BM dan ucapan kontroversi penceramah Dr Zakir Naik, baru-baru ini.

Kumpulan pendidikan Cina menentang pengenalan khat di sekolah vernakular yang akhirnya menyebabkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggelarkan kumpulan itu sebagai rasis.

Sementara itu, Zakir menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia selepas mengatakan orang Cina dan India di negara ini, yang beliau sebut sebagai “tetamu lama”, harus meninggalkan Malaysia terlebih dahulu sebelum beliau berbuat demikian.

Sebelum itu, beliau juga mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun menerima lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.