Polis akan panggil Zakir Naik, Dong Zong dan taikun Perak

Muhyiddin Yassin berkata, beberapa individu lain sudah dipanggil dan ada yang dalam pemerhatian polis.

PETALING JAYA: Polis akan memanggil pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan taikun Perak, Koon Yew Yin selepas menerima beberapa laporan berhubung kenyataan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, siasatan sedang dijalankan dengan beberapa individu lain sudah dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang dalam pemerhatian polis.

“Tindakan selanjutnya akan diambil, termasuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, jika terdapat bukti mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan ialah sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyeru rakyat menamatkan retorik yang merosakkan perpaduan negara.

“Kita perlu sanggah polemik yang berniat membinasakan negara. Kita perlu menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum,” menurut kenyataan bersama pemimpin parti komponen Pakatan Harapan hari ini.

Kenyataan itu menyusul ketegangan kaum yang timbul disebabkan kontroversi seperti pengenalan seni khat dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular dan kenyataan Naik baru-baru ini.

Dong Zong membantah pengenalan seni khat di semua vernakular kerana mendakwa “penyelidikan beberapa cendekiawan dan pakar kesusasteraan” menunjukkan ia digunakan sebagai medium untuk menyebarkan ajaran Islam.

Sejak itu, satu petisyen dilancarkan bagi menggesa kerajaan mengharamkan kumpulan itu yang dilabelkan rasis oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Naik dalam satu siri ceramahnya di Kelantan minggu lalu mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Beliau turut dilaporkan berkata, orang Cina di Malaysia juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Hartawan terkenal, Koon pula mendakwa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa, kecuali makan dan tidur”.

“Sebenarnya, hampir semua (daripada) mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan di papan sasaran. Sebahagian perlu menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” tulisnya di catatan blognya minggu ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja, termasuk individu bukan warganegara Malaysia yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.

Katanya, polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Semua pihak perlu berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian, sebaliknya perlu menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum membuat ulasan tentang sesuatu kejadian.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu,” katanya sambil menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat mengenai komen berunsur fitnah, perkauman atau hasutan.