Polis: Nora mungkin mati akibat kelaparan, tekanan

Remaja Ireland yang hilang di Seremban, Nora Anne Quoirin.

SEREMBAN: Polis hari ini berkata remaja Ireland Nora Anne Quoirin, yang mayatnya ditemui berhampiran sungai, mati akibat pendarahan dalaman mungkin disebabkan kelaparan dan tekanan yang berpanjangan.

Mayat Nora, 15, yang mengalami masalah pembelajaran, ditemui pada Selasa, 10 hari selepas dia dilaporkan hilang dari sebuah resort.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop berkata, bedah siasat semalam menunjukkan Nora mengalami kerosakan usus dan tiada bukti dia diserang secara seksual.

“Punca kematian sebenar adalah disebabkan kebocoran usus, mungkin disebabkan tempoh tidak makan terlalu panjang dan stress berpanjangan, itulah punca kematian yang disahkan oleh pakar patologi dan beberapa sampel dari tubuh Nora diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia.

“Mayat Nora mati 2 hingga 3 hari (sebelum ditemui) dan tidak ada kesan dia dirogol, calar kecil di kaki ada sedikit, itu tidak menjurus boleh menyebabkan kematian pada mangsa,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan.

Mohamad memaklumkan hasil bedah siasat buat masa ini tiada bukti menunjukkan Nora mangsa penculikan.

Buru individu sebar maklumat palsu

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata pihaknya sedang mengesan pemilik akaun Twitter yang menyebarkan berita bahawa Nora dirogol Orang Asli.

“Nora tidak dirogol Orang Asli, memang laporan dibuat, kita sedang mengesan pemilik akaun Twitter tersebut,” katanya.

Beliau berkata, mayat Nora boleh dituntut ahli keluarga pada bila-bila masa termasuk untuk dibawa pulang ke negara asal bagi proses pengebumian.

Nora yang bermasalah pelajaran, hilang sewaktu bercuti bersama keluarganya di The Dusun Resort di Nilai, Negeri Sembilan pada 3 Ogos lalu.

Pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat terbesar melibatkan 348 anggota, termasuk pasukan elit polis VAT 69.

Orang ramai termasuk kumpulan pendaki gunung berpengalaman turut terlibat dalam operasi mencari yang dijalankan.