Polis rakam keterangan 12 saksi awam kes kematian di lebuh raya PLUS

Menurut pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed, 3 lagi saksi awam akan tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian Syed Muhammad Danial petang ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan 12 saksi awam, bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan jalan raya yang meragut nyawa Syed Muhammad Danial Syed Syakir, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, 3 lagi saksi awam akan tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu pada petang ini.

“Saksi awam yang hadir memberi keterangan terdiri daripada saksi ketika kejadian dan selepas kejadian berlaku. Ada yang akan hadir untuk beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang petang ini.

“Siasatan masih berjalan dan laporan bedah siasat telah diterima, namun polis menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk menilai laporan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, dekat sini.

Dalam insiden itu, Syed Muhammad Danial, 29, dilaporkan maut selepas dilanggar kenderaan yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan keretanya, selepas Plaza Tol Sungai Besi dengan kedua-dua kenderaan berhenti dekat persimpangan Bandar Baru Bangi, selepas kejadian kejar mengejar antara satu sama lain.

Sebelum kejadian, kedua-dua pemandu dikatakan terlibat dalam pergaduhan dan dileraikan pengguna lebuh raya lain, sebelum mangsa yang keluar semula daripada kenderaannya dilanggar dan tersepit antara kenderaan dan pengadang jalan.

Susulan itu, polis menahan reman sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka direman 7 hari sehingga 17 Ogos ini.

Sementara itu, polis akan memanggil Lokman Adam berikutan dakwaannya, melalui video yang dimuat naik di laman sosial, berhubung kes kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi itu.

Huzir berkata, Lokman Adam akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

“Setakat ini pihaknya membuka satu kertas siasatan dan menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Sebelum ini, Lokman melalui video berdurasi 7 minit yang dipaparkan di YouTube menggesa orang ramai membuat laporan polis, susulan penularan gambar seorang lelaki yang dilaporkan maut dalam insiden kemarahan jalan raya, pada Sabtu lepas.

Lokman turut mengaitkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan pegawai penyiasat kes itu berhubung penularan gambar yang dirakam isteri suspek, semasa kejadian.