Putrajaya lanjut lesen Lynas, tapi hanya untuk 6 bulan

AELB berkata, lesen Lynas dilanjutkan 6 bulan dengan 3 syarat.

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini mengumumkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd dilanjutkan, tetapi tempoh itu dipendekkan kepada 6 bulan berbanding kebiasaan 3 tahun.

Pengumuman Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menamatkan spekulasi berhubung nasib kilang pemprosesan nadir bumi itu di Gebeng, Kuantan.

AELB dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, pembaharuan lesen itu disertakan 3 syarat yang disyorkan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November 2018, dan selepas kerajaan persekutuan Australia serta kerajaan negeri Australia Barat memutuskan tidak akan menerima sisa radioaktif dari Malaysia.

Syarat pertama ialah membina kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara dalam masa 4 tahun daripada tarikh lesen diperbaharui dan ia tidak boleh menghasilkan sisa radioaktif melebihi 1 becquerel per gram di Gebeng selepas itu.

Syarat kedua ialah mengenal pasti tapak pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri, serta mengemukakan kebenaran rasmi bertulis daripada pihak berkuasa negara lain untuk membawa keluar sisa Water Leached Purification (WLP) ke negara terbabit.

Syarat ketiga ialah menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula sisa WLP sebagai “Condisoil” dalam bidang pertanian
serta 0.5% hasil jualan kasar setiap tahun yang digunakan untuk R&D diserahkan kepada Putrajaya sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan “Cracking and
Leaching” di luar negara mula beroperasi.

“Pembinaan PDF perlu disegerakan untuk meminimakan risiko timbunan sisa
radioaktif WLP yang kini terkumpul melebihi 580,000 tan di kemudahan simpanan (RSF) yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir.

“AELB akan memantau rapi serta memastikan pembinaan dan pengendalian PDF itu mengikut piawaian antarabangsa.”

Lesen operasi Lynas akan luput pada 2 September ini dan kilangnya di Pahang menjadi punca kontroversi sejak 2012 disebabkan pelupusan sisa radioaktif tahap rendah, dengan kumpulan pencinta alam sekitar, ahli politik Pakatan Harapan dan masyarakat setempat mengadakan bantahan atas alasan kesihatan.

Syarikat pengeluar nadir bumi Australia itu berulang kali mempertahankan keselamatan kilangnya dengan memetik pelbagai kajian semula yang dilakukan agensi tempatan dan antarabangsa, termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Pada 3 Ogos lalu, Lynas dilaporkan berkata, ia sudah mendepositkan wang tunai dan bon bersandarkan tunai sebanyak AS$42.2 juta (RM175 juta) kepada kerajaan Malaysia bagi membiayai pengurusan sisa jangka panjang di kilangnya di Gebeng.

Lynas satu-satunya pengeluar nadir bumi terbesar di luar China. Ia memproses nadir bumi yang dilombong dari Gunung Weld di Australia Barat. Nadir bumi ialah 17 logam yang digunakan dalam bateri, komputer, televisyen dan telefon pintar.