Rumah mewah dikaitkan anak tiri Najib akan dijual

Anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) berusaha menjual 3 rumah mewah yang dikaitkan dengan anak tiri bekas perdana menteri, Najib Razak, menurut dokumen mahkamah, dalam usaha terkini untuk mendapatkan semula wang yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia dan AS mendakwa kira-kira AS$4.5 bilion diseleweng dari 1MDB, dana kerajaan yang diasaskan bersama oleh Najib.

Sejak 2016, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman perlucuthakan kira-kira AS$1.7 bilion berhubung aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri dari 1MDB, termasuk jet peribadi, hartanah mewah dan barang kemas.

AS mula mengembalikan wang itu kepada Malaysia kira-kira AS$200 juta daripada penjualan aset yang disita.

Semalam, pendakwa raya AS dan syarikat untuk 3 hartanah mewah meminta mahkamah California menangguhkan prosiding pelucuthakan supaya harta itu boleh dijual, menurut mahkamah.

Hartanah itu termasuk rumah “townhouse” bernilai £23.2 juta di London, rumah bernilai AS$17.5 juta di Beverly Hills, dan kondominium bernilai AS$35.5 juta di New York yang didakwa dibeli Riza Aziz menggunakan dana yang dialihkan dari 1MDB.

Pendakwa raya berkata Riza membeli hartanah itu daripada Low Taek Jho, yang menghadapi tuduhan jenayah di Malaysia dan AS atas peranannya dalam kes 1MDB. Low yang juga dikenali sebagai Jho Low, secara konsisten menafikan salah laku dan beliau tidak dapat dikesan sehingga kini.

Riza adalah pengasas bersama firma penerbitan Hollywood Red Granite Pictures, yang menghasilkan filem “The Wolf of Wall Street”. Pada 2017, Red Granite membayar sebanyak AS$60 juta kepada kerajaan AS bagi menyelesaikan saman pelucuthakan bagi hak 3 filem yang didakwa dibiayai menggunakan dana 1MDB.

Bulan lalu, Riza mengaku tidak bersalah terhadap 5 tuduhan pengubahan wang haram, melibatkan kira-kira AS$248 juta dari dana 1MDB.

Pihak berkuasa di sekurang-kurangnya 6 negara sedang menyiasat suspek pengubahan wang haram dan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB.

Najib, yang kehilangan kuasa pada pilihan raya umum tahun lepas, menghadapi 42 tuntutan jenayah yang berkaitan dengan kerugian 1MDB dan entiti kerajaan lain. Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku.