Saya tak bersalah, kenyataan ‘Cina tetamu’ diputar belit, kata Zakir Naik

Zakir Naik. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik menolak dakwaan beliau mencetuskan ketegangan kaum dengan menyalahkan media atas kenyataannya yang meminta orang Cina meninggalkan Malaysia.

Katanya, komennya mengenai orang Cina bertujuan “menempelak ahli politik Cina berpengaruh” yang bersetuju dengan pihak yang menggelarnya “tetamu” di Malaysia.

“Dalam jawapan saya kepada beliau dan mereka yang menyokong kenyataannya, saya kata ‘jika anda mahu tetamu baru ini pergi, minta tetamu lama pulang terlebih dahulu’.

“Ini ialah tempelak terhadap hujahnya yang mengelirukan, sebagai tetamu, saya perlu keluar dari negara ini. Saya tidak pernah kata orang Cina perlu keluar; tetapi saya hanya tunjuk kelemahan dalam kenyataannya dengan mengingatkan beliau juga seorang ‘tetamu’ seperti saya,” kata Naik merujuk veteran DAP, Lim Kit Siang yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya atas kenyataannya yang didakwa menghina penganut Hindu di negara ini.

Desakan untuk Naik dihantar pulang ke India bertambah, susulan ceramahnya di Kelantan yang mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Beliau turut dilaporkan berkata, orang Cina di Malaysia juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Naik mengulangi dakwaannya berhubung “kempen cercaan” terhadap dirinya susulan satu siri ceramahnya di Kelantan pada minggu lalu atas pelawaan kerajaan negeri pimpinan PAS.

“Daripada ceramah saya selama 8 jam, kali ini mereka yang benci saya memetik satu perkara di luar konteks untuk memfitnah saya. Walaupun hadirin acara itu tidak menemui sebarang isu berbaur perkauman dalam ucapan saya, media diberikan berita bersifat kebencian dan ketaksuban dengan dakwaan palsu.”

Beliau mempertahankan tindakannya menggunakan perkataan “tetamu” ke atas masyarakat Cina tidak salah.

“Bagaimana jawapan saya terhadap desakan orang Cina untuk pengusiran saya bersifat perkauman terhadap mereka?

“Saya ialah orang dengan misi menyebarkan keamanan dan kebenaran. Tetapi, ada beberapa penjaja kebencian, kebanyakannya mempunyai agenda politik, mahu mengganggu misi saya dan cuba berbuat demikian dengan menyalah petik saya dan memalsukan maklumat mengenai saya.”

Naik mendakwa beliau sering disalah petik dan merayu rakyat Malaysia mendengar keseluruhan ceramahnya “berbanding hanya mendengar sebahagian kecil klip itu”.

“Jika orang bukan Islam di Malaysia mendengar sesetengah ceramah saya secara menyeluruh, jika bukan saya, saya pasti mereka akan menghargai kerja dan menyokong misi saya juga.”