Sukar bagi Umno untuk saman bekas ahli masuk PPBM, kata bekas hakim

Bekas ahli Umno Mustapa Mohamed menyerahkan borang permohonan menyertai PPBM dalam satu sidang media pada 26 Okt tahun lepas.

PETALING JAYA: Seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan percaya Umno besar kemungkinan akan gagal dalam usahanya mendapatkan semula kos daripada wakil rakyat parti itu yang menyertai PPBM berdasarkan penghakiman mahkamah dalam kes berkaitan sebelum ini.

Bercakap kepada FMT, Gopal Sri Ram menyebut 2 keputusan Mahkamah Persekutuan, iaitu kes Datuk Ong Kee Hui lwn Sinyium Anak Mutit dan Nordin bin Salleh lwn Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Beliau berkata, apa-apa kontrak antara seorang wakil rakyat dengan parti politik yang diwakilinya bahawa dia akan mengosongkan kerusi dan membayar balik kos pilihan raya sekiranya dia keluar parti adalah tidak sah dan terbatal.

Atas sebab yang sama kata beliau, tuntutan berdasarkan pecah amanah juga mungkin gagal.

“Malah dalam kes Nordin, undang-undang anti-lompat juga didapati tidak sah dan berlawanan dengan perlembagaan,” katanya kepada FMT.

Sri Ram berkata, mahkamah tidak akan, secara tidak langsung, menguatkuasakan sesuatu perkara yang tidak boleh dikuatkuasakan secara langsung.

“Jika sebuah parti politik memfailkan saman bagi memaksakan peletakan jawatan atau untuk mendapatkan semula perbelanjaan pilihan raya, ahlinya yang disaman itu boleh menang atas asas dasar awam,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan secara langsung atau tidak langsung berkaitan ketetapan yang melarang peletakan jawatan daripada sesebuah parti politik.

Umno kini memfailkan saman bagi mendapatkan ganti rugi daripada bekas pemimpinnya, iaitu Mustapa Mohamed, Hamzah Zainudin dan Ikmal Hashim Abdul Aziz kerana melanggar kontrak dengan keluar parti tahun lepas.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di Kota Bahru dan Kuala Lumpur Selasa lepas.

Parti komponen utama Barisan Nasional itu mahu 3 bekas ahlinya itu yang kini menyertai PPBM membayar ganti rugi berjumlah RM600,000.

“Umno meluluskan permohonan keahlian mereka, justeru wujud hubungan kontrak antara defendan (3 ahli Parlimen itu) dengan kami,” kata parti itu.

Umno juga berkata, ia memberikan RM200,000 setiap seorang kepada Mustapa, Hamzah dan Ikmal sebagai perbelanjaan dalam pilihan raya umum lepas.

Umno seterusnya mendakwa pengundi di Parlimen Jeli, Larut dan Tanah Merah telah hilang kepercayaan kepada parti itu.

“Kami juga hilang kerusi Parlimen tersebut,” katanya.

Umno menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teruk daripada Mustapa, Hamzah dan Ikmal, selain memohon perisytiharan mahkamah bahawa mereka melanggar kontrak dengan parti berkenaan.

Pada 1982, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penyerahan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada speaker dewan adalah bertentangan dengan dasar awam, dan tidak sah.

Hakim Mahkamah Persekutuan Salleh Abas berkata, “sistem kerajaan berperwakilan adalah didasarkan pada kebebasan memilih.

“Pengundi mesti bebas memilih calon untuk mewakili mereka dalam badan perundangan, sementara calon yang berjaya mestilah juga bebas untuk bertindak mengikut pertimbangan bebas mereka.

“Mana-mana ketetapan yang menghalang kebebasan itu dilihat oleh undang-undang sebagai pelanggaran dasar awam.”

Dalam satu lagu kes yang terkenal, Nordin Salleh (Sungai Pinang) dan Wan Mohamed Najib Wan Mohamed (Limbongan) menang kerusi mereka atas tiket Semangat 46 dalam pilihan raya umum 1990.

Bagaimanapun mereka masuk Umno pada 1991. Dewan Undangan Negeri Kelantan meminda perlembagaan negeri dan meluluskan undang-undang anti-lompat yang berkuatkuasa ke belakang dari 18 Nov 1990.

Speaker mengisytiharkan 2 kerusi itu kosong. Nordin dan Wan Mohamed Najib bertanding dalam pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu, tetapi kalah.

Mereka kemudiannya mengambil tindakan udang-undang dan pada 1992 Mahkamah Agung memutuskan bahawa pindaan perlembagaan negeri bertujuan menguatkuasakan disiplin parti, bukannya mengenakan sekatan ke atas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Mahkamah menyebut, pindaan tersebut berlawanan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Nordin dan Wan Mohamed Najib kemudiannya dikekalkan sebagai Adun.

Sri Ram berkata, mahkamah tertinggi tidak berkemungkinan menyanggahi duluan.