Suspek rancang letupan bom di Bangkok lari ke ‘negara jiran’, kata TPM Thai

Setakat ini 6 lelaki dituduh berhubung pengeboman di Bangkok pada 2 Ogos yang mencederakan orang. (Gambar AFP)

BANGKOK: Polis Thai percaya suspek yang terlibat dalam siri pengeboman di Bangkok pada 2 Ogos merangka rancangan mereka di sebuah “negara jiran”, kata Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan.

Katanya, siasatan menunjukkan beberapa orang daripada suspek melarikan diri ke negara jiran selepas letupan itu.

“Kami percaya ada beberapa orang lagi suspek. Bagaimanapun, mereka melarikan diri ke negara jiran.

“Polis akan menyelaras langkah dengan rakan (di negara jiran),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau tidak menyatakan nama negara jiran berkenaan.

Katanya, polis mencapai kemajuan dalam siasatan mereka.

Sementara itu, timbalan jurucakap polis Kol Krissana Pattanacharoen berkata, 4 suspek didakwa hari ini melakukan pembakaran, memiliki bahan letupan secara haram dan terlibat dalam jenayah terancang.

Setakat ini, 6 lelaki dituduh berhubung pengeboman di Bangkok pada 2 Ogos.

Pada hari kejadian, polis menemui 9 bom, termasuk bahan yang belum meletup, di 5 lokasi di ibu negara ini selepas beberapa letupan kecil mencederakan 4 orang ketika Bangkok menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri Luar Asean.