Terengganu terima peruntukan pembangunan RM988.5 juta

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yakin peningkatan peruntukan pembangunan dan kerjasama strategik dengan Terengganu dapat meneroka potensi ekonomi negeri yang berimpak tinggi. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Terengganu menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM988.5 juta tahun ini daripada kerajaan persekutuan, menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu berkata, peruntukan tersebut adalah salah satu inisiatif dalam menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 9 Mei lalu.

“Terengganu antara negeri yang penting dalam usaha penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), 2021-2025 kerana salah satu matlamat utama pelan jangka panjang negara adalah merapatkan jurang pembangunan antara wilayah selaras dengan objektif utama Wawasan Kemakmuran Bersama,” demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan kerja sehari Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali ke Terengganu hari ini bagi bertemu pemimpin kerajaan negeri, kakitangan kerajaan dan usahawan.

Tambahnya, peruntukan itu merupakan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pembayaran royalti petroleum kepada Negeri Terengganu juga telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan bagi 2018.

Kerajaan Persekutuan juga menunjukkan keprihatinan dengan pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat mampu memberi manfaat daripada peningkatan kesalinghubungan antara Terengganu dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi di pantai barat.

Kerajaan Persekutuan yakin melalui peningkatan peruntukan pembangunan dan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri Terengganu itu pastinya dapat meneroka potensi ekonomi negeri yang berimpak tinggi.

Antaranya sektor pengangkutan dan logistik, kegiatan industri hiliran berasaskan minyak dan gas, eko-pelancongan dan pertanian pintar yang bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dan pendapatan tinggi kepada rakyat Terengganu, tetapi juga menjana pertumbuhan ekonomi yang bakal menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu lawatan kerja Azmin bermula dengan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini.

Selepas itu beliau mengadakan sesi libat urus penyediaan RMK-12 bersama kerajaan negeri Terengganu, secara tertutup.

Mengikut rekod Terengganu merupakan negeri kes-9 dalam siri jelajah Azmin yang bermula pada 5 Julai 2019.