Tiada rombakan, bos SPRM nafi timbalannya akan ditukar

Latheefa Koya mengesahkan Azam Baki sudah keluar dari hospital dan akan menyambung semula tugasnya pada 22 Ogos ini.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa ada rombakan dalam barisan kepimpinan tertinggi agensi anti-rasuah itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya menyifatkan dakwaan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Azam Baki akan digantikan atas faktor kesihatan sebagai tidak berasas.

“Saya merujuk kepada laporan berita yang mendakwa akan ada perubahan di dalam SPRM kononnya atas sebab timbalan ketua pesuruhjaya baru-baru ini cuti sakit.

“Laporan ini adalah tidak berasas langsung dan tidak patut. Azam telahpun keluar dari hospital, malah datang ke pejabat hari ini,” katanya dalam kenyataan sambil memaklumkan Azam akan menyambung semula tugasnya pada 22 Ogos ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan perubahan dijangka berlaku dalam SPRM kerana Azam sedang bercuti sakit selepas dimasukkan ke Hospital Putrajaya bulan lalu.

Menurut laporan itu, pegawai kanan berkenaan dilaporkan pengsan dan dikejarkan ke unit rawatan rapi, beberapa hari selepas beliau keluar dari hospital.

Sumber dipetik portal berita itu berkata, difahamkan Azam mempunyai masalah kegagalan buah pinggang.