12 menteri tandatangan ‘Aku Janji’ batal Lynas, kata Wee

PETALING JAYA: Wee Ka Siong berkongsi gambar pemimpin Pakatan Harapan menandatangani apa yang dikatakan “Aku Janji” membatalkan Lynas, disebalik bantahan kumpulan wakil rakyat Pakatan Harapan dan persatuan alam sekitar terhadap pelanjutan lesen operasi loji nadir bumi di Gebeng, Pahang.

Dari PKR, presiden MCA itu memuatkan gambar Timbalan Presiden Azmin Ali, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution, dan Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin.

Dari Amanah pula, gambar Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, dan Naib Presiden Mujahid Yusof Rawa, serta Khalid Samad dan Dzulkefly Ahmad.

Dari DAP, gambar Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo, Naib Pengerusi M Kulasegaran, Timbalan Setiausaha Agung Teresa Kok, dan Setiausaha Organisasi Nasional, Loke Siew Fook.

“Mereka sekarang ini sudah bergelar menteri,” katanya di Facebook.

“Dulu #SaveMalaysiaStopLynas. Sekarang #SaveMalaysiaKeepLynas,” tambahnya.

Semalam, Agensi Perlesenan Tenaga Atom di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengumumkan lesen operasi Lynasdilanjutkan 6 bulan bersama 3 syarat, lebih pendek daripada kebiasaan 3 tahun.

Syarat pertama ialah membina kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara dalam masa 4 tahun daripada tarikh lesen diperbaharui dan ia tidak boleh menghasilkan sisa radioaktif melebihi 1 becquerel per gram di Gebeng selepas itu.

Syarat kedua ialah mengenal pasti tapak pembinaan PDF dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri, serta mengemukakan kebenaran rasmi bertulis daripada pihak berkuasa negara lain untuk membawa keluar sisa WLP ke negara terbabit.

Syarat ketiga ialah menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula sisa WLP sebagai “Condisoil” dalam bidang pertanian serta 0.5% hasil jualan kasar tahunan untuk R&D diserahkan kepada Putrajaya sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara mula beroperasi.