8 bayi lahir ketika ibadah haji di Mekah tahun ini

Salah seorang jemaah haji memangku anaknya selepas melahirkan bayinya ketika menunaikan ibadah haji di Mekah. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Musim haji tahun ini menyaksikan 8 bayi dilahirkan di tanah suci Mekah, menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi memetik laporan Stepfeed.

Dilaporkan Hospital Ibu Bersalin dan Kanak-kanak Mekah merekodkan 5 kelahiran, 2 di Arafah dan 1 lagi di Mina.

Dua bayi di Arafat dilahirkan jemaah haji ketika mereka menjalani ibadah wukuf di kawasan itu pada 10 Ogos. Mereka kemudiannya dipindahkan ke hospital berhampiran untuk pemantauan dan pemeriksaan.

Salah seorang ibu adalah jemaah haji dari Libya berusia 40 tahun, Suad Mohammed Barbush yang melahirkan bayinya di Hospital Jabal al-Rahmah.

Seorang lagi ibu berusia 23 tahun dari Republik Guinea, Maimunah Ali melahirkan bayi sejam selepas dia dan suami mendaki gunung Arafah. Pasangan itu kemudian menamakan anak mereka sempena Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Pada 2017, 9 jemaah haji melahirkan bayi semasa menunaikan ibadah wukuf di Arafah.

Manakala pada 2018 dan 2015, wanita masing-masing dari Jordan dan Maghribi melahirkan bayi mereka di lokasi yang sama.