Ahli Parlimen Kuantan kecewa lesen Lynas dilanjut, salahkan BN

Fuziah Salleh berkata, Lynas dan syarikat pembekalnya menjadi pemenang walaupun dikenakan 3 syarat, manakala rakyat dan alam sekitar terpaksa menanggung risiko kesihatan serta pencemaran.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan yang lantang mengkritik Lynas, Fuziah Salleh kesal dengan keputusan Putrajaya melanjutkan lesen operasi syarikat nadir bumi itu selama 6 bulan kerana rakyat akan terdedah kepada sisa radioaktif dikeluarkan lojinya di Gebeng, Kuantan selama 4 tahun lagi.

“Lynaslah yang menjadi pemenang dengan syarat baru ini. Syarikat pembekal Lynas juga akan mendapat keuntungan, sedangkan rakyat dan alam sekitar yang akan terus menanggung risiko kesihatan dan pencemaran,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim hari ini mengumumkan lesen operasi Lynas disambung 6 bulan berbanding kebiasaan 3 tahun, tetapi dengan 3 syarat.

Syarat pertama ialah membina kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara dalam masa 4 tahun daripada tarikh lesen diperbaharui dan ia tidak boleh menghasilkan sisa radioaktif melebihi 1 becquerel per gram di Gebeng selepas itu.

Syarat kedua ialah mengenal pasti tapak pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri, serta mengemukakan kebenaran rasmi bertulis daripada pihak berkuasa negara lain untuk membawa keluar sisa Water Leached Purification (WLP) ke negara terbabit.

Syarat ketiga ialah menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula sisa WLP sebagai “Condisoil” dalam bidang pertanian serta 0.5% hasil jualan kasar setiap tahun yang digunakan untuk R&D diserahkan kepada Putrajaya sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara mula beroperasi.

Fuziah yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa kerajaan terdahulu bersekongkol dengan kerajaan negeri untuk membenarkan Lynas beroperasi di Malaysia.

“Saya kesal kerana kesilapan kerajaan terdahulu yang ‘tertipu’ dengan Lynas dan percaya industri nadir bumi membawa keuntungan kepada negara tanpa memahami ada sisa radioaktif yang akan dijana kilang tersebut.

“Lynas tidak seharusnya dibenarkan beroperasi pada 2012 tanpa pelan pengurusan sisa radioaktif WLP yang kekal. ‘Kegilaan’ apakah yang telah kerajaan terdahulu lakukan apabila mempercayai sisa radioaktif WLP boleh dibenarkan untuk dikitar semula dalam bentuk ‘Condisoil’.”

Beliau turut menyalahkan kerajaan terdahulu yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan terpaksa menanggung akibatnya sekarang.

“Dalam keadaan sekarang ini mungkin hanya inilah ‘option’ yang kerajaan ada untuk menguruskan sisa radioaktif dari Lynas. Dalam hal ini saya bersolidariti bersama warga Kuantan di dalam menanggung risiko kesihatan dan pencemaran kepada alam sekitar akibat daripada keadaan ini.”